suria

Parti baru kaum India Mindrap ikrar sokong dasar kerajaan

KUALA LUMPUR: Parti Demokratik India Malaysia (Mindrap) berikrar akan menyokong dasar kerajaan, khususnya dalam membantu masyarakat India di negara ini.

Presidennya Manuel Lopez berkata, parti yang ditubuhkan pada 2005 dan merupakan parti bebas itu akan memainkan peranan sebagai suara masyarakat India dan membawa permasalahan kaum itu untuk perhatian kerajaan.

"Kita akan memainkan peranan penting dalam mengutarakan permasalahan yang dihadapi masyarakat India. Kita faham ada tuntutan untuk masyarakat India tidak dapat dipenuhi kerana mungkin cara kita nak pohon itu tidak betul.

"Bila tak dapat, kita tak boleh salahkan kerajaan. Apa yang penting kita hendak pastikan kaum ini mendapat pembelaan sewajarnya," katanya pada sidang akhbar di sini.

Manuel berkata, penubuhan parti itu bukanlah untuk menyaingi MIC atau Parti Progresif Penduduk (PPP) sebaliknya untuk melebarkan lagi sayap perjuangan untuk membela kaum India di negara ini.

"Kita maklum meskipun adanya parti yang memperjuangkan nasib kaum ini, tapi ia tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Kita tidak mahu bercakap pasal kerajaan tetapi parti. Saya menubuhkan parti ini untuk menaiktaraf kehidupan kaum India.

"Dari kajian yang kami buat, masih banyak lagi masalah masyarakat India yang tidak selesai antaranya isu kad pengenalan, pendidikan dan pekerjaan. Masyarakat India di negara ini masih banyak ketinggalan," katanya yang mendakwa mempunyai keanggotaan kirakira 3,000 orang di seluruh negara.

Selain itu, katanya penubuhan parti itu juga dibuat setelah tidak yakin lagi dengan kepimpinan parti kaum India sedia ada.

Ditanya sama ada parti itu bercadang menyertai Barisan Nasional, Manuel berkata: "Kami parti bebas dan akan menyokong sesiapa sahaja yang memperjuangkan nasib kaum India. Kami tidak dimiliki oleh manamana parti yang lain." BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain