suria

Pakatan, BN sedia bincang krisis Perak

BUTTERWORTH: Pakatan pembangkang tidak pernah menolak ruang untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, tidak ada alasan untuk pakatan pembangkang menolak niat baik mana-mana pihak yang mahu mengadakan perbincangan demi kepentingan rakyat.

"Tidak ada alasan untuk kita menolak sikap baik sesiapa juga termasuk Umno dan BN sekiranya ini (perbincangan) disusuli dengan tindakan beradap dan mengikut undangundang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Permatang Pauh di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bahawa kerajaan BN sedia bekerjasama dengan pihak pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia bukanlah bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Najib mengulas kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang semalam yang telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengannya bagi menyelesaikan krisis politik di Perak.

Di PEKAN, Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional sedia bekerjasama dengan pihak pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia bukanlah bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Perdana Menteri berkata, kerjasama keduadua pihak mestilah menjurus kepada saling hormat menghormati antara satu sama lain dan mematuhi undang-undang negara.

"Kerjasama tidak semestinya bererti kita buat kerajaan campuran, tidak semestinya bentuk itu, ia boleh dalam pelbagai bentuk, yang penting sekali saling hormat menghormati antara satu sama lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat kelompok cawangan Umno bahagian Pekan semalam.

Najib menegaskan kemelut politik di Perak boleh dielakkan sekiranya semua pihak mematuhi undangundang dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Maknanya kerjasama dalam konteks urusan pentadbiran negara, kalau kita menghormati undang-undang, semua pihak juga perlu mematuhi undang-undang, sebenarnya kalau kita semua ikut peraturan, tak ada kemelut, kalau menghormati peraturan dan undang-undang negara, tak akan jadi kemelut, bila masingmasing menegakkan benang basah, jadilah masalah," katanya.

Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional sentiasa bersikap terbuka dan mahu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

"Kita tidak mahu keadaaan ini (di Perak) berterusan, kita hendak berkhidmat kepada rakyat, untuk semua kaum di Perak dan seluruh negara," kata Najib. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain