suria

Murugiah terima kelongsong peluru, nota ugutan

KUALA LUMPUR: Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T.Murugiah Isnin menerima satu bungkusan kotak mengandungi dua butir kelongsong peluru dan sekeping nota ugutan yang ditujukan kepada Timbalan Menteri itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman ketika mengesahkan perkara itu berkata, bungkusan tersebut diterima pukul 2.30 petang di pejabat Murugiah di Putrajaya.

"Bungkusan kotak itu mengandungi dua kelongsong peluru 9mm dan sekeping nota ugutan," katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini.

Antara butiran nota ugutan meminta Murugiah supaya tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan Parti Progresif Penduduk (PPP) jika tidak, nyawanya terancam.

Muhammad Sabtu berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ugutan itu difahamkan ada kaitan dengan pengumuman Presiden PPP Datuk M. Kayveas dua hari lepas bahawa Murugiah yang juga anggota Majlis Tertinggi parti itu dipecat kerana didakwa terlibat dengan politik wang.

Timbalan Menteri itu juga dituduh cuba mencabar kedudukan Kayveas pada pemilihan PPP bulan depan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain