suria

Krisis politik Perak: Pakatan juga sedia bincang tapi...

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat bersedia untuk berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berhubung krisis politik di Perak, namun beberapa insiden ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Khamis lalu menuntut penjelasan terlebih dahulu.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau gembira dengan maklum balas yang diberikan Najib pada hari ini untuk sedia bekerjasama namun pihaknya inginkan penjelasan itu terlebih dahulu sebelum sebarang perbincangan berlangsung.

"Pertama, kita mahukan jawapan kepada tindakan mengheret Speaker DUN (V Sivakumar) yang dilakukan pihak polis.

"Hal seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah politik moden dan mana-mana negara Komanwel.

"Selain itu, kerajaan juga harus menghentikan amalan menangkap orang awam dan wakil-wakil rakyat seperti yang dilakukan pada hari persidangan DUN Perak yang lalu kerana ia langsung tidak memberi imej yang baik kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Najib hari ini bahawa Barisan Nasional (BN) sedia bekerjasama dengan pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia tidak bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Najib berkata demikian sebagai maklum balas kepada cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam yang sedia mengadakan perbincangan dengannya bagi menyelesaikan krisis politik di Perak.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, sebagai Perdana Menteri, Najib mempunyai kuasa untuk memperbetulkan kecelaruan yang berlaku di negeri itu.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengamalkan prinsip terbuka bagi hal-hal yang melibatkan kepentingan rakyat dan undang-undang serta keluhuran perlembagaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya begitu serius dalam usaha menyelesaikan krisis politik di Perak yang semakin meruncing sejak Februari lalu.

"Kalau kita sudah sampai ke tahap itu (mengadakan perbincangan), ini menunjukkan kita serius dalam perkara ini.

"Kalau BN tolak, memang menunjukkan mereka berniat jahat dan memang ada konspirasi untuk merampas kuasa," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, rakyat Perak pada masa ini memerlukan kepada kerajaan yang dapat menjalankan tugas dengan baik dan ia tidak akan tercapai selagi situasi politik di Perak tidak menemui jalan penyelesaian.

"Selain itu, tindakan mereka yang menghalau Speaker semasa sidang DUN tempoh hari begitu tidak berdemokrasi.

"Kalau mereka tak mahu selesaikan, rakyat tentunya akan menghukum mereka pada pilihan raya umum akan datang," katanya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain