suria

Kerajaan tubuh Majlis Pembangunan Pertahanan Parlimen

PUTRAJAYA: Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen akan ditubuhkan bagi menyelaras semua projek pertanian di setiap kawasan Parlimen, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar.

Beliau berkata, majlis itu bertanggungjawab memastikan semua maklumat terkini termasuk dari segi bantuan, peruntukan dan kemudahan yang disediakan kementerian sampai kepada para petani dengan cepat dan berkesan.

Katanya, ia juga akan bertindak sebagai saluran kepada para petani untuk menyuarakan masalah yang dihadapi bagi membolehkan tindakan segera diambil pada masa itu juga, dan bagi masalah yang sukar pula ia perlu dimaklumkan kepada ibu pejabat.

"Majlis itu akan dipengerusikan sama ada oleh Anggota Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) atau pegawai yang layak mengikut kesesuaian.

"Pelantikan akan dibuat oleh kementerian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Majlis berkenan turut dianggotai wakil pertanian, penternak, nelayan, ibu tunggal dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Selain itu bagi memantapkan lagi sistem penyampaian kementerian, Noh berkata, MOA Incorporated yang dianggotai agensi serta jabatan-jabatan berkaitan diarah bermesyuarat sebulan sekali bagi membincang dan menyelaras projek serta peruntukan agar tidak berlaku pertindihan dan persaingan sesama sendiri.

Sementara itu Noh berkata, kementerian juga akan meneliti semula proses pemberian subsidi minyak diesel untuk memastikan bekalan subsidi dapat dinikmati nelayan di pulau-pulau dan kawasan pendalaman dengan mudah.

Noh berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat minyak yang dilantik tidak lama lagi bagi menjayakan hasrat itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain