suria

Kedudukan Hindraf dikaji semula jika ada rayuan

PUTRAJAYA: Kedudukan Hindu Rights Action Force (Hindraf), yang sebelum ini diisytihar sebagai pergerakan haram, akan dikaji semula sekiranya pertubuhan itu mengemukakan rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya menimbang semula statusnya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bagaimanapun, pada masa ini, statusnya kekal sebagai sebuah pergerakan haram kerana permohonan pendaftarannya telah ditolak.

"Kalau mereka mahu kami timbang semula statusnya, mereka perlu kemukakan rayuan dan apabila mereka merayu, saya akan timbang semula status pergerakan itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Pendaftaran Negara di sini isnin.

Hishammuddin berkata demikian apabila ditanya tentang status pergerakan itu setelah kesemua lima pemimpinnya dibebaskan daripada ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk tiga, yang dibebaskan Sabtu lepas.

Hishammuddin berkata kerajaan telah cuba berlaku adil dengan membebaskan kesemua mereka setelah mendapati mereka tidak lagi menjadi ancaman kepada negara dan oleh itu, mereka juga perlu berlaku adil dalam tindakan mereka pada masa akan datang.

"Saya tahu mereka tidak akan berdiam diri, tapi mereka juga sama seperti orang lain dan jika mereka melanggar undang-undang, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang," kata beliau.

Diminta mengulas kenyataan pengerusi Hidraf P. Waythamoorthy bahawa dia akan pulang ke tanah air, Hishammuddin berkata beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi tentang kedudukan Waythamoorthy dan kementerian berkenaan akan memberi pertimbangan sewajarnya jika lelaki itu mengemukakan permohonannya tentang perkara itu.

Ditanya sama ada Waythamoorthy, yang kini menetap di London, akan ditangkap apabila pulang ke tanah air, Hishammuddin berkata beliau akan merujuk perkara itu kepada polis.

Mengenai kenyataan penasihat Hindraf, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah M. Manoharan bahawa beliau akan menyaman kerajaan berhubung penahanannnya mengikut ISA, Hishammuddin berkata sesiapa saja boleh mengemukakan saman.

"Kenapa beliau tidak berbuat demikian sebelum ini? Kami sedia ke mahkamah dan jika dia ingin menyaman, itu adalah haknya," kata beliau.

Sementara itu, Hishammuddin berkata ulasan tidak akan lagi dikeluarkan berhubung Mas Selamat Kastari -- lelaki yang disyaki anggota sebuah kumpulan pengganas dan yang ditangkap oleh polis Malaysia minggu lepas -- bagi memudahkan urusan penyiasatan lanjut.

"Penyiasatannya bersifat sensitif, ia melibatkan tiga negara dan tiga agensi perisikan, ia melibatkan pihak lain dan Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Dalam Negeri Singapura dan saya, telah membuat keputusan bahawa kami tidak akan lagi memberi sebarang ulasan tentang isu Mas Selamat," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata perkara itu akan menjadi sebahagian daripada agenda dalam lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Singapura tidak lama lagi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain