suria

"Mereka memutuskan untuk singkirkan saya" - Murugiah

SEREMBAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah dari Parti Progresif Penduduk (PPP) mahu menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi memberi penjelasan berhubung dakwaan politik wang terhadapnya.

Murugiah berkata, beliau terkejut apabila mengetuai daripada media mengenai keputusan Majlis Tertinggi PPP semalam yang mahu memecatnya atas alasan mengamalkan politik wang.

"Saya tidak menyinggung perasaan sesiapa pun tetapi mereka telah memutuskan untuk menyingkirkan saya," katanya di sini.

Sehubungan itu kata Murugiah, "saya ingin menemui Perdana Menteri Selasa ini."

"Tuhan maha kuasa dan kebenaran akan muncul," katanya.

Murugiah juga menekankan bahawa beliau tidak terlibat dalam aktiviti membeli undi ataupun berhasrat untuk bertanding jawatan Presiden PPP pada pemilihan bulan depan.

Beliau tidak menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PPP semalam atas alasan mempunyai urusan lain.

Murugiah mengulas kenyataan Presidennya, Datuk M. Kayveas semalam bahawa parti itu akan memecat Murugiah yang juga ahli Majlis Tertinggi PPP berkuat kuasa selepas pemilihan parti 7 Jun ini kerana didakwa terbabit politik wang.

Kayveas berkata, tindakan tegas terpaksa diambil ke atas Murugiah kerana didakwa mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa ketua bahagian parti dan mendesak mereka mencabar kedudukannya sebagai Presiden PPP bulan depan.

Katanya, PPP sudah menggantung dua ahli parti 'orang' Murugiah kerana politik wang.

Pun begitu, Kayveas berkata, parti itu tidak akan tergesa-gesa memecat keanggotaan Murugiah dalam Majlis Tertinggi walaupun terdapat desakan untuk memecatnya ekoran tindakan beliau yang dikatakan sering membelakangkan parti.

Katanya, cadangan memecat keanggotaan Murugiah dibuat oleh majoriti daripada 25 anggota MT yang bermesyuarat semalam yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakannya yang sering tidak menghadiri mesyuarat parti selain beberapa keputusannya memberikan imej buruk terhadap parti.

Murugiah memberitahu, tidak seorang pun dari PPP yang memaklumkan mengenai keputusan Majlis Tertinggi.

"Saya tidak akan mengatakan apa-apa lagi tetapi saya akan bercakap bila tiba masa yang sesuai," katanya.

Ketika ditanya sama ada sudah ada unsur konspirasi untuk menyekatnya selepas dinamakan sebagai ahli politik masyarakat India yang paling popular baru-baru ini, Murugiah enggan mengulas.

Artikel Lain