suria

Masa depan Hindraf, bekas tahanan serah pada Uthayakumar

PUCHONG: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), M Manoharan berkata, beliau menyerahkan kepada ketuanya, P. Uthayakumar berhubung masa depan perjuangan mereka dalam Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) yang telah diharamkan.

Manoharan berkata, beliau dan Uthayakumar mempunyai misi dan visi dalam memperjuangkan hak kaum India di negara ini.

"Saya tidak tahu tentang masa depan Hindraf tetapi kuasa rakyat masih ada di situ.

"Saya dan Uthayakumar mempunyai misi dan visi dalam perjuangan keamanan ini.

"Biar Uthayakumar yang mengumumkan apa perancangannya (tentang Hindraf)," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, petang semalam.

Selain Manoharan dan Uthayakumar, seorang lagi pemimpin Hindraf yang dibebaskan semalam adalah K Vasantha Kumar.

Mereka adalah baki tiga daripada lima pemimpin Hindraf yang telah dibebaskan daripada tahanan ISA.

Dua lagi iaitu V. Ganabatirau dan R. Kengadharan telah dibebaskan pada awal April lalu.

Manoharan menegaskan, beliau bukanlah seorang pengganas sehingga menyebabkannya ditahan dan tidak ada sebab untuk mengesyaki beliau sebagai seorang pengganas.

"Saya adalah seorang peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya...saya juga seorang ADUN.

"Saya tidak akan menjadi pengganas dan tidak ada sesiapa yang boleh mengesyaki saya pengganas," katanya.

Manoharan berkata, beliau akan terus berjuang dan tidak akan sekali-kali berputus asa dalam memastikan nasib kaum India di negara ini terbela.

"Saya seorang pejuang keamanan dan akan terus menjadi pejuang keamanan.

"Saya tidak akan berputus asa kerana orang India di negara ini begitu memerlukan pertolongan.

"Saya amat berharap suara kaum India di negara ini akan didengar," katanya.

Artikel Lain