suria

Isu tanah: Guan Eng minta SPRM ambil keterangan Tsu Koon, Rashid

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan daripada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan bekas timbalannya, Abdul Rashid Abdullah berhubung isu skandal tanah Tang Hak Ju.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin kerajaan negeri yang lalu itu enggan memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Siasatan Khas yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang.

"Mereka tidak mahu datang untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa itu dan saya harap SPRM boleh memanggil dan menyiasat mereka memandangkan SPRM telah meminta maklumat lanjut berhubung kes itu daripada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kereta berhias sempena sambutan Hari Wesak di sini.

Beliau berkata, tindakan SPRM meminta maklumat berhubung kes itu khususnya kertas siasatan dalaman dan minit mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri daripada April 2008 sehingga sekarang menimbulkan tanda tanya sama ada suruhanjaya itu akan membuka kembali fail siasatan berhubung kes berkenaan.

Sebelum ini, Badan Pencegah Rasuah (BPR) pernah menjalankan siasatan berhubung isu tanah itu ketika Barisan Nasional (BN) menerajui Pulau Pinang tetapi menutup fail siasatan setelah mendapati tiada kes penyelewengan atau skandal berlaku berhubung pemajakan tanah 4.2 hektar oleh kerajaan negeri yang lalu kepada Tang dan kerajaan kemudian membatalkan perjanjian itu, katanya.

"Saya hairan apabila SPRM meminta maklumat daripada saya serta minit mesyuarat Jawatankuasa Tanah yang saya pengerusikan ketika ini, adakah ini bermakna mereka mahu membuka semula fail kes itu?," katanya.

Kerajaan negeri baru telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas sebaik sahaja dimaklumkan bahawa kerajaan negeri menghadapi kerugian berpuluh-puluh juta berkaitan dengan skandal penyelewengan tanah, antaranya kes Tang Hak Ju di mana mahkamah telah memutuskan bahawa kerajaan negeri bersalah dan perlu membayar ganti rugi sebanyak RM29.4 juta. BERNAMA

Artikel Lain