suria

Tiada pilihan raya kecil, Mano kekal ADUN Kota Alam Shah

GEMBIRA... Bekas tahanan ISA, M. Manoharan diserbu oleh tiga anaknya (dari kiri), Shivaranjini, Ganendra dan Hariharan sebaik sahaja beliau keluar dari kereta polis yang membawanya pulang ke rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong hari ini.
GEMBIRA...  Bekas tahanan ISA, M. Manoharan diserbu oleh tiga anaknya (dari kiri), Shivaranjini, Ganendra dan Hariharan sebaik sahaja beliau keluar dari kereta polis yang membawanya pulang ke rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong hari ini.
GEMBIRA... Bekas tahanan ISA, M. Manoharan diserbu oleh tiga anaknya (dari kiri), Shivaranjini, Ganendra dan Hariharan sebaik sahaja beliau keluar dari kereta polis yang membawanya pulang ke rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong hari ini.

PUCHONG: Tiada pilihan raya kecil di kawasan Kota Alam Shah! Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) M. Manoharan dari DAP yang dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) petang ini telah mengubah fikiran untuk tidak mengosongkan kerusi tersebut.

"Saya akan memberi khidmat terbaik di kawasan saya dan memastikan mereka mendapat yang terbaik daripada saya.

"Mereka telah hilang 14 bulan perkhidmatan saya dan kehadiran saya di DUN Selangor," kata beliau ketika ditemui di rumahnya di Bandar Kinrara di sini sebentar tadi.

Manoharan, salah seorang daripada baki tiga pemimpin Hindraf yang dibebaskan hari ini, tiba di rumahnya kira-kira pukuk 7 petang tadi dengan terus dipeluk oleh tiga anaknya sebaik sahaja beliau keluar dari kereta polis.

Kira-kira 20 orang anggota keluarga dan pekerja menunggu kepulangan beliau.

Beliau dibawa keluar dari Pusat Tahanan Perlindungan Kamunting kira-kira 2.30 petang tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang sebelum dihantar ke rumahnya di sini.

Peguam itu memberitahu, beliau sememangnya telah berhasrat untuk meletakkan jawatan sebagai ADUN sebelum ini kerana berasa bersalah terhadap penduduk DUN Kota Alam Shah.

Kota Alam Shah yang terletak di Selangor dimenangi oleh Manoharan dengan majoriti 7,184 undi.

Manoharan memperoleh 12,699 undi manakala Ching Su Chen calon BN-Gerakan mendapat 5,515 undi.

Walaupun dalam tahanan ISA, Manoharan bertanding dalam pilihan raya umum 8 Mac.

Beliau antara satu-satunya tahanan ISA yang bertanding dan memenangi pilihan raya umum 2008.

Beliau ditahan di bawah ISA sejak Disember 2007.

TULIS SURAT KEPADA PM

Manoharan berkata, beliau pernah menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada 24 April lalu menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan sebagai ADUN.

"Bagaimanapun saya tidak pasti macam mana perkara itu boleh bocor.

"Saya bercadang untuk mengumumkan perkara itu pada 19 Mei ini melalui Karpal Singh (Pengerusi DAP) kerana beliau akan berjumpa dengan saya pada hari itu.

"Tetapi memandangkan ia telah tersebar lebih awal, saya terpaksa menjawabnya," katanya lagi.

Ketika ketiadaan beliau, khidmat sebagai ADUN Kota Alam Shah telah diuruskan oleh isterinya, S. Pushpaneela.

Manoharan percaya hasrat untuk mengosongkan jawatannya itu telah mempercepatkan pembebasan beliau kerana BN kemungkinan tidak mahu kepada satu lagi pilihan raya kecil.

Sambil menyifatkan pembebasannya sebagai hadiah sempena Hari Ibu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi Kota Alam Shah kerana bersabar menunggu 'kemunculannya'.

Ditanya sama ada beliau berterima kasih kepada kerajaan ekoran keputusan membebaskannya, Manoharan hanya menggelengkan kepala sambil berkata, "saya berterima kasih kepada kuasa rakyat."

"Saya rasa kerajaan harus belajar dan menghormati kuasa rakyat yang menyebabkan saya dibebaskan.

"Kalau tidak, saya tidak tahu bila saya akan dibebas," katanya lagi.

HARAPAN ISTERI

Terdahulu pagi tadi, Pushpaneela ketika dihubungi mStar Online berkata, beliau akan meminta Manoharan supaya tidak mengosongkan kerusi DUN Kota Alam Shah, sebaliknya terus berkhidmat kepada pengundi-pengundi di bahagiannya.

"Harapan saya ialah beliau tidak akan melepaskan jawatan ADUN," kata beliau.

"Manoharan harus kekal untuk berkhidmat kepada pengundi yang telah mengundinya tanpa melihat muka beliau (kerana ditahan di Kamunting)," kata beliau.

Pushpaneela berkata, beliau akan menyampaikan hasrat itu sebaik sahaja Manoharan dibebaskan nanti.

Bagaimanapun beliau tidak tahu Manoharan akan dibenarkan pulang ke rumahnya.

Awalnya beliau dijangka keluar dari Pusat Tahanan Perlindungan Kamunting selewat-lewatnya Isnin ini.

Sambil mengharapkan pembebasan pada Hari Wesak, Pushpaneela memberitahu, beliau tidak akan ke Kamunting sebaliknya hanya akan menunggu suaminya pulang di rumah mereka.

Minggu lalu, Pushpaneela selepas melawat Manoharan di Kamunting memberitahu bahawa suaminya sedang memikirkan dengan serius untuk mengosongkan kerusi DUN kerana tidak dapat memberikan khidmat dengan berkesan kepada pengundi-pengundinya.

Manoharan dibebaskan bersama dua lagi pemimpin kumpulan haram itu, P. Uthayakumar dan K. Vasantha serta 10 yang lain seperti yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Artikel Lain