Penjara 11 tahun kerana pukul adik ipar hingga mati - Semasa | mStar

Penjara 11 tahun kerana pukul adik ipar hingga mati

KUALA LUMPUR: Seorang buruh yang bertindak nekad memukul adik iparnya dengan kayu sehingga mati akibat tidak tahan dengan perangai mangsa yang suka berjudi dan malas bekerja, hampir tiga tahun lalu, hari ini dihukum penjara 11 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Pesuruhjaya Kehakiman P.Nallini menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Isa Raja Abdullah, 42, setelah tertuduh mengaku salah menyebabkan kematian Wong Kian Lun@ Muhammad Zubir Wong, 19, di halaman rumah di Taman Gombak, Selangor, pukul 5.30 petang, 1 Sept, 2006.

Pertuduhan terhadap Muhammad Isa telah dipinda daripada kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, kepada Seksyen 304(a) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Menceritakan kepada mahkamah kenapa tertuduh sanggup bertindak sedemikian, peguambela Suzanawati Ismail memberitahu: "Si mati tinggal bersama tertuduh tetapi tidak bekerja. Tertuduh telah mencarikan pekerjaan untuk si mati tetapi selepas dua minggu, majikannya menghubungi dan memberitahu si mati tidak pernah sehari pun datang bekerja.

"Malah, duit kira-kira RM1,000 yang diberikan oleh tertuduh untuk menjelaskan wang ansuran pinjaman kenderaan, telah digunakan untuk berjudi.

"Ketika tertuduh meminta penjelasan daripada si mati, si mati sebaliknya mengeluarkan katakata kesat dan menimbulkan provokasi yang menaikkan kemarahan tertuduh," katanya.

Peguambela itu berkata, tertuduh bagaimanapun masih mengambil berat terhadap si mati dengan meminta rakannya menghantar adik iparnya itu ke Hospital Selayang selepas dia (si mati) tenat pada malam itu.

Tertuduh, bapa kepada dua anak berusia empat dan tiga tahun itu, kelihatan sugul setelah hakim menjatuhkan hukuman penjara itu yang akan berkuatkuasa mulai tarikh tangkapan pada 4 Okt, 2006.

Mengikut fakta kes, seorang saksi iaitu jiran tertuduh telah melihat tertuduh menumbuk, menyepak dan memukul si mati dengan kayu dan disahkan mati di Hospital Selayang pada pukul 11.20 malam, hari yang sama.

Pakar patologi mengesahkan si mati, yang mengalami hampir 60 kecederaan di bahagian muka, badan, perut dan bahagian belakang, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada organ dalaman termasuk jantung dan paru-paru. Dalam hujahnya, Timbalan Pendakwaraya Wan Shaharuddin Wan Landin berkata hukuman berat perlu dijatuhkan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam dan cara perbuatan itu dilakukan.

"Mengikut keterangan patologi, si mati dipukul dalam keadaan berdiri dan merangkak, dalam tempoh yang lama, dan kecederaan si mati amat teruk," katanya.

Hakim Nallini dalam penghakimannya berkata walaupun tertuduh tidak mempunyai niat untuk menyebabkan kematian adik iparnya petang itu, tetapi tindakan tertuduh memukul si mati, yang bersaiz lebih kecil daripadanya, dengan kayu dan kerusi, adalah tidak sepadan dengan provokasi yang ditimbulkan kepada tertuduh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

Artikel Lain