suria

PAS Pulau Pinang akur keputusan pusat tidak cabar PKR di Penanti

PETALING JAYA: PAS Pulau Pinang akhirnya akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti yang menegaskan tidak akan benarkan mana-mana ahlinya menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Penanti.

"Tak apa la, kita akur dengan keputusan PAS pusat. Kita tidak mahu membesar-besarkan isu ini lagi," kata Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Salleh Man kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali yang tidak membenarkan ahlinya bertanding menentang calon Pakatan Rakyat iaitu wakil PKR pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Mustafa menegaskan, larangan itu bertujuan menjaga semangat setiakawan dan imej parti itu selepas memutuskan kawasan itu ditandingi calon dari PKR.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Salleh berkata, keputusan tersebut akan dibincangkan pada mesyuarat PAS negeri Ahad ini.

"Kita akan bincang dan maklumkan kepada mereka (ahli-ahli PAS). Kita mahu mereka faham dengan jelas keputusan pucuk pimpinan.

"Laporan penuh mengenai isu ini (Penanti) kita akan maklumkan kepada pihak media kemudian (selepas mesyuarat),"katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai desakan Pemuda PAS negeri yang mahu PAS Pusat menimbangkan cadangan mahu meletakkan calonnya bertanding di DUN Penanti, Salleh berkata: "Kita tetap akur dengan keputusan pucuk pimpinan."

"Saya tidak mahu beri kenyataan terlalu banyak kepada pihak media kerana isu ini telah dibesar-besarkan hingga jadi isu nasional pula," katanya.

Sebelum ini, Pemuda PAS meminta agar pucuk pimpinan parti itu menimbangkan cadangan supaya meletakkan calonnya bertanding di DUN Penanti.

Cadangan itu berikutan desakan akar umbi supaya PAS meletakkan calonnya selepas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR meletak jawatan pada 16 April lalu.

PKR telah mengumumkan calon mereka Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56.

Artikel Lain