suria

Malaysia masih bebas daripada influenza A (H1N1)

KUALA LUMPUR: Semua empat laporan kes diterima Bilik Pusat Kesiapsiagaan Krisis dan Bertindak Cepat (CPRC) Kementerian Kesihatan sehingga 9 malam semalam berhubung pesakit yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor, disahkan negatif terhadap virus influenza A(H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan, berkata kes dari Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan yang telah dimasukkan pada 6 Mei lepas turut disahkan negatif.

"Sehubungan dengan ini juga, sehingga masa ini tiada kes influenza A(H1N1) dikesan di negara kita," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata sehingga semalam juga laporan status aktiviti saringan pemantauan di pintu masuk udara Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang dan Pulau Pinang menunjukkan 37 penerbangan disaring, 3,821 penumpang disaring dan 49 penumpang diperiksa petugas pasukan kesihatan.

"Di pintu masuk darat pula seramai 3,104 penumpang dan di pintu masuk laut seramai 175 penumpang, bagaimanapun dalam semua saringan udara, darat dan laut tiada yang dirujuk ke hospital," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata kementerian telah memasang dua lagi "Thermalscan" masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Senai menjadikan jumlah semuanya sembilan alat tersebut dipasang di enam pintu masuk negara.

Sementara itu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan bertarikh 7 Mei memaklumkan negara Poland secara rasmi melaporkan kes influenza A(H1N1) menjadikan keseluruhan jumlah negara terlibat kepada 24 negara.

Jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di seluruh dunia pula adalah sebanyak 2,371 kes dengan 44 kematian iaitu pertambahan sebanyak 478 kes berbanding hari sebelumnya.

Mexico melaporkan 1,112 kes yang disahkan melalui ujian normal dengan 42 kematian berbanding 942 kes pada hari sebelumnya manakala Amerika Syarikat melaporkan 896 kes positif ujian makmal dengan dua kematian.

Negara yang mempunyai pertambahan kes serta tiada kematian adalah Kanada dengan 201 kes, Jerman (10), Israel (6), Belanda (2), Poland (1), Republik Korea (3), Sepanyol (81) dan United Kingdom (32).

Sementara itu negara yang menunjukkan tiada pertambahan bilangan kes ialah Austria, Hong Kong, Colombia, Costa Rica, Guatemala, Ireland, Portugal, Sweden, Switzerland dan Denmark (masing-masing satu), El Salvador (2) serta Perancis, New Zealand dan Itali (5).

WHO masih mengekalkan tahap amaran Influenza Pandemik di Fasa 5 semenjak 29 April lepas dan tidak menyarankan sebarang tindakan sekatan dari segi kesihatan perjalanan dan perdagangan serta penutupan sempadan yang perlu dilakukan oleh mana-mana negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa. BERNAMA

Artikel Lain