suria

Malaysia bimbang gelombang kedua H1N1

BANGKOK: Meskipun Asean dan Malaysia khususnya, melakukan sepenuh persediaan bagi menangani wabak H1N1, namun perkumpulan serantau itu mahu penduduknya lebih peka serta mengambil langkah berjaga-jaga ekoran kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku gelombang kedua yang lebih dahsyat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, bagaimanapun berkata belum ada keperluan untuk mengeluarkan larangan perjalanan ke mana-mana 24 negara yang terjejas akibat virus itu tetapi individu boleh menangguhkan lawatan mereka melainkan benar-benar mustahak.

Beliau berkata memandangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah pun memaklumkan bahawa virus itu boleh menjadi pandemik, adalah penting untuk individu menggunakan topeng perlindungan atau tidak keluar rumah jika mereka sakit.

"Jika gelombang kedua berlaku, virus itu boleh merebak dengan cepat seperti Spanish flu pada 1918 yang juga adalah virus H1N1 dan mengorbankan berjuta-juta orang dalam gelombang kedua. Tetapi yang berlaku sekarang bukanlah H1N1 tulen yang berlaku pada 1918, tetapi satu campuran yang agak lemah dan kita perlu mengkajinya dengan lebih lanjut," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Kesihatan Asean +3 mengenai ancaman H1N1 di sini pada Jumaat, Liow berkata Malaysia melakukan persediaan sepenuhnya untuk menangani virus baru itu memandangkan negara menyiapkan mekanisme, termasuk dua juta dadah anti viral, iaitu jumlah tertinggi di rantau ini.

Pada masa ini, sebahagian besar negara di dunia melakukan saringan di pintu masuk.

Setiausaha Kesihatan Filipina Dr Francisco T. Duque, yang mempengerusikan mesyuarat itu dan turut dihadiri Setiausaha Agung Asean Surin Pitsuwan serta wakil daripada WHO, berkata mereka bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama bagi melindungi dua bilion penduduk di 13 negara.

Tumpuan akan diberikan kepada pemantauan, keberkesanan respons dan risiko jangkitan bagi orang ramai mengurangkan penularan penyakit dan mengurangkan kesan buruk ke atas individu serta rantau ini.

Duque berkata mereka juga bersetuju untuk berkongsi maklumat, teknologi, sumber dan kemudahan makmal, namun perbincangan tidak menyentuh tentang meningkatkan jumlah 500,000 dadah anti viral yang ketika ini dalam simpanan di Singapura. BERNAMA

Artikel Lain