suria

69 orang ditahan terbabit dalam perhimpunan di Perak

IPOH: Polis menahan 69 orang, 10 daripadanya adalah anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kerana didapati terbabit dalam perhimpunan berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan di mana berlangsungnya persidangan Dewan Undangan Negeri Perak Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, 10 yang ditahan itu ialah empat orang Anggota Parlimen dan enam Adun dari DAP, Parti Keadilan Rakyat dan PAS.

Daripada 69 yang ditahan, 54 ditahan atas kesalahan mengingkar perintah penjawat awam di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana berhimpun di dalam lingkungan 500 meter dari bangunan Perak Darul Ridzuan.

Zulkifli berkata 14 lagi ditahan berhampiran bangunan perpustakaan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kerana mengadakan perhimpunan haram.

Seorang lagi pula ditahan atas kesalahan di bawah Akta Hasutan kerana menjual buku yang bersifat menghasut di sebuah gerai di Manjoi di sini, katanya dalam sidang akhbar di sini malam ini.

Zulkifli berkata setelah di soal siasat, polis telah membebaskan 54 orang, termasuk sembilan Anggota Parliman dan Adun.

Polis sebelum ini telah mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret di sini untuk menghalang orang ramai daripada berhimpun dalam lingkungan 500 meter di luar bangunan Perak Darul Ridzuan kerana sebelum ini ada ura-ura akan berlaku perhimpunan haram yang akan dianjurkan oleh penyokong parti politik.

Bagaimanapun Seksyen 188 Kanun Keseksan itu tidak akan dikuatkuasakan selepas persidangan Dewan di tangguhkan, katanya.

Ditanya mengapa anggota polis berada dalam Dewan semasa persidangan, beliau menjelaskan ia adalah bagi memenuhi permohonan Speaker untuk mengawal keadaan, yang ketika itu berlaku kekecohan. BERNAMA

Artikel Lain