suria

Sweden negara ke-23 laporkan kes influenza A(H1N1)

KUALA LUMPUR: Sweden merupakan negara terbaru mengesahkan kes pertama jangkitan virus influenza A(H1N1), menjadikan sejumlah 23 buah negara dilaporkan telah dilanda wabak tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata sehingga 12 tengah malam tadi waktu Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bilangan kes di seluruh dunia meningkat kepada 1,893 kes, pertambahan sebanyak 403 kes berbanding hari sebelumnya.

Jumlah kematian akibat penyakit itu adalah 31 orang dengan 29 di Mexico dan dua kes kematian di Amerika Syarikat, iaitu pertambahan satu kes semalam, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

WHO juga melaporkan jumlah kes disahkan di Mexico ialah 942 kes berbanding 822 kes pada hari sebelumnya manakala Amerika Syarikat pula melaporkan 642 kes.

Katanya sehingga ini, WHO masih mengekalkan amaran pandemik influenza itu pada tahap lima dan tidak mengesyorkan sebarang larangan kesihatan, pengembaraan dan perdagangan atau penutupan sempadan manamana negara.

Dr Mohd Ismail berkata ketika ini, Malaysia masih bebas daripada jangkitan wabak itu. BERNAMA

Artikel Lain