suria

Suspek kes ragut wanita mengandung ditahan

BACHOK: Polis hari ini menahan seorang remaja yang disyaki suspek dalam kes ragut yang mengorbankan seorang wanita mengandung di Kampung Padang Raja, Jalan Melor-Ketereh dekat Kota Baharu semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, suspek yang berumur 25 tahun itu ditahan oleh pasukan mencegah jenayah dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan di rumah keluarganya di Kampung Padang Mahligai, dekat sini awal pagi tadi.

"Ketika serbuan di rumahnya kirakira pukul 1.30 pagi, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori sambilan ditemui dalam keadaan sedang khayal dipercayai dipengaruhi dadah.

"Dia ditahan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian ragut itu, Saripah Mohd Noor, 33, dari Kampung Melawi, Bachok yang mengandung tiga bulan maut selepas diragut oleh seorang lelaki.

Motosikal yang dinaiki wanita itu terbabas dan terjatuh selepas beg tangannya diragut, dan dia kemudian dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan. Wanita itu mati di tempat kejadian.

Abdul Rahim berkata polis akan melakukan penahanan ke atas beberapa suspek lagi berhubung kes itu.

"Kes ini belum selesai dan pihak kita masih meneruskan siasatan. Suspek kini ditahan reman untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan. Melaluinya akan ada beberapa tangkapan lagi dilakukan pihak kami seterusnya," katanya.

Beliau berkata kes berkenaan merupakan kes pertama jenayah ragut sehingga mengorbankan nyawa yang berlaku dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini di Kelantan.

"Kes jenayah ragut yang berlaku di negeri ini pada tempoh yang sama tahun ini dan tahun lalu menunjukkan penurunan.

Bagaimanapun ianya semakin menimbulkan kebimbangan masyarakat ekoran tindakan agresif peragut yang bukan sekadar meragut sebaliknya turut mencederakan mangsa sehingga mengorbankan nyawa," katanya.

Katanya pihak polis telah menempatkan anggota di keseluruhan kawasan yang dikategorikan panas terutama di kawasan bandar di mana kerap dilaporkan berlakunya kes jenayah ragut.

"Bagaimanapun langkah ini dilihat masih tidak mencukupi kerana jumlah anggota kita juga agak terhad menyebabkan ada beberapa kawasan yang agak jauh dari bandar tidak mempunyai anggota peronda, seperti kes semalam yang berlaku agak jauh dari pekan Bachok iaitu kira-kira 25 kilometer," katanya.

Abdul Rahim turut meminta orang awam menjadi mata dan telinga kepada pihak polis dalam menyampaikan maklumat berkenaan jenayah ragut dan segera membuat laporan sekiranya mengalami kejadian ragut. BERNAMA

Artikel Lain