suria

Polis nafi cuai kejadian suspek samun mati dibelasah orang ramai

SHAH ALAM: Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar hari ini menafikan dakwaan kononnya seorang suspek kes samun yang mati dibelasah sekumpulan orang awam di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, dekat sini, Jumaat lepas, berpunca daripada kecuaian polis.

Beliau berkata undang-undang membenarkan polis meminta bantuan dan kerjasama daripada orang ramai untuk menjaga orang yang telah ditangkap sementara pihak polis mengambil tindakan lain yang sepatutnya.

"Ia bukan kelalaian polis, undang-undang di bawah Seksyen 11 (a) Kanun Prosedur Jenayah membenarkan polis, penghulu atau majistret yang buat tangkapan yang sah untuk memohon bantuan orang ramai menjaga orang tangkapan supaya dia tidak lari agar polis boleh bertindak untuk tangkap anggota kumpulan samun yang lain.

"Kalau tidak, tidak lengkaplah tugas polis apabila tangkap seorang tapi yang lain masih berkeliaran melakukan samun di kawasan sama.

"Dalam hal ini saya sedih bahawa orang ramai yang kita mohon pertolongan telah ambil tindakan lebih daripada apa yang patut iaitu telah membelasah suspek," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Motosikal Berkuasa Tinggi kepada anggota pasukan trafik seluruh Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Khalid berkata demikian ketika mengulas tindakan sekumpulan penunggang motosikal membelasah seorang suspek kes samun yang ditinggalkan dalam kenderaan polis dengan tangan bergari ketika polis mengejar suspek yang lain dalam kejadian pada pagi itu.

Lima anggota polis yang kembali bersama suspek samun yang lain mendapati suspek yang dibelasah nazak lalu menghantarnya ke hospital tetapi meninggal dunia sehari selepas itu.

Kejadian itu menyebabkan abang lelaki yang mati dibelasah membuat laporan polis pada Isnin lepas kerana menganggap kejadian itu ada kaitan dengan kecuaian polis kerana meninggalkan suspek dengan tangan bergari.

Khalid berkata polis telah menahan sembilan lelaki berumur 18 hingga 22 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes belasah itu.

"Tiga lagi suspek berumur 19 hingga 22 tahun yang ditangkap kemudian juga terlibat dalam kegiatan samun bersama-sama suspek yang mati dibelasah," katanya.

Khalid berkata kumpulan itu disyaki menyamun pengunjung yang duduk di tepi laut. BERNAMA

Artikel Lain