suria

Polis minta mayat Sujatha dibedah siasat - Pakar forensik

KUALA LUMPUR: Pakar perunding forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) berkata beliau tidak tahu kenapa bedah siasat tidak dijalankan terhadap mayat K. Sujatha walaupun pihak polis ada membuat permintaan.

Dr Khairul Azman Ibrahim hari ini memberitahu Mahkamah Koroner bahawa adalah wajib untuk membuat bedah siasat apabila pihak polis mengeluarkan borang meminta bedah siasat dilakukan.

"Dalam kes Sujatha pihak polis ada mengeluarkan borang tersebut dan pegawai perubatan yang bertugas di bilik mayat hospital, Dr K. Saravanan pada 25 Jun 2007 seharusnya memastikan perkara tersebut dipatuhi," jelas Dr Khairul.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Geethan Ram Vincent bahawa mengikut prosedur walaupun anggota keluarga si mati membuat permintaan dalam kes seperti ini untuk tidak melakukan bedah sisat tetapi ia (bedah siasat) masih diwajibkan, Dr Khairul bersetuju dengan prosedur tersebut.

Dr Khairul, 51, berkata beliau selaku ketua jabatan ada bertanya dengan Dr Saravanan kenapa bedah siasat tidak dijalankan, Dr Saravanan memberitahunya bahawa dalam permit pengebumian sebab kematian telahpun dinyatakan, maka bedah siasat tidak perlu dilakukan.

Menjawab soalan lain, Dr Khairul setuju dengan cadangan Geethan bahawa sekiranya bedah siasat telah dilakukan terhadap mayat pelakon wanita tersebut, maka pihak hospital dapat membuat keputusan muktamad berhubung punca kematian.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada prosiding inkues untuk menentukan punca kematian Sujatha, 28, pada 25 Jun 2007, selepas mendapat rawatan selama enam hari di HTAR akibat minum racun paraquat.

Ketika diminta memberi penjelasan oleh peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings Berhad S.Vell Paari bahawa mengikut Seksyen 330 Kanun Acara Jenayah (CPC) sekiranya pegawai penyiasat berpuas hati dengan punca kematian maka beliau boleh mengarahkan bedah siasat tidak perlu dilakukan, Dr

Khairul bersetuju dengan hujah tersebut. Dr Khairul juga bersetuju bahawa dalam sebarang kes melibatkan unsur jenayah, keputusan muktamad sama ada bedah siasat perlu dilakukan atau tidak, ia bergantung kepada pihak polis.

Ketika menjawab soalan koroner Mohd Faizi Che Abu, sama ada beliau tahu atau tidak pihak polis ada menarik balik permintaan untuk bedah siasat, Dr Khairul berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

Sementara itu, seorang lagi saksi, pembantu perubatan di wad kecemasan HTAR Mahaletchumy Kaveri, 42, berkata Dr S.P. Sakthiveloo ada meminta bantuan beliau untuk menukar pakaian Sujatha ketika pelakon tersebut mendapat rawatan kecemasan pada 19 Jun, 2007.

Beliau berkata ketika itu beliau tidak melihat sebarang kesan kecederaan ataupun kesan lebam pada badan Sujatha.

Ketika menjawab soalan lain daripada Geethan, Mahaletchumy berkata beliau ada membantu memandikan mayat Sujatha dan ketika itu juga tidak melihat sebarang kesan kecederaan.

Prosiding inkues bersambung esok. BERNAMA

Artikel Lain