suria

Keterangan Nizar berupa cerita dongeng - hujah Peguam

KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili Datuk Dr Zambry Abdul Kadir hari ini menegaskan keterangan yang diberikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di sini sebagai "cerita dongeng".

Datuk Cecil Abraham ketika berhujah di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim berkata keterangan Nizar yang beliau tidak tahu menahu mengenai surat yang dihantar oleh tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak untuk menarik balik surat peletakan jawatan mereka, sukar untuk dipercayai.

Isnin lepas, Nizar dalam keterangannya berkata semasa beliau menghadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Kinta pada 5 petang 4 Februari, beliau tidak tahu menahu mengenai surat yang dihantar tiga Adun itu.

Dalam prosiding bagi memastikan apa yang berlaku semasa istiadat menghadap Sultan itu, Nizar berkata beliau hanya tahu mengenai surat berkenaan apabila dimaklumkan oleh pegawainya selepas beredar dari istana itu 50 minit kemudian.

Dalam keterangannya itu, Nizar memberitahu mahkamah yang beliau memohon Sultan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri berikutan menemui jalan buntu apabila Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional masing-masing mempunyai 28 kerusi tetapi menafikan yang beliau kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

"Pemohon (Nizar) bukan orang biasa, ketika itu beliau ialah Menteri Besar, dan beliau tidak dimaklumkan oleh Speaker yang merahsiakan semua maklumat itu (wakil rakyat telah menghantar surat menarik balik peletakan jawatan).

"Saya andaikan beliau (Nizar) tidak membaca akhbar atau menonton berita. Ini semua cerita dongeng! Dengan hormatnya, pemohon ini sama ada mengalami penyakit lupa atau terlalu berkira dengan kebenaran," hujah Cecil.

Sebab itu kenapa, kata Cecil, mahkamah perlu meneliti keterangan dokumentasi yang tidak dipertikaikan untuk menentukan isu percanggahan fakta dalam keterangan Nizar.

"Sekiranya terdapat percanggahan berhubung keterangan afidavit, mahkamah perlu bergantung kepada fakta yang tidak dipertikaikan dengan bergantung kepada keetrangan dokumentasi yang bersifat berkecuali," kata Cecil.

Katanya adalah jelas bahawa Nizar telah kehilangan kepercayaan majoriti dengan melihat kepada tiga pucuk surat bertarikh 3 Februari, 2009, oleh Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang), yang diterima oleh Sultan Azlan Shah pada 3 petang, 4 Februari.

Dalam surat itu, ketigatiga Adun telah menyatakan sokongan mereka kepada Barisan Nasional dan bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap Nizar.

Cecil dalam hujahnya turut mengulangi bahawa Sultan Perak telah mengambil tindakan mengikut Undangundang Tubuh Negeri Perak semasa menolak permohonan Nizar bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri.

"Duli Yang Maha Mulia mengambil tindakan mengikut perlembagaan dengan menemui setiap seorang daripada 31 Adun untuk menentukan sama ada Barisan Nasional boleh membentuk kerajaan negeri," katanya.

Berikutan keputusan Sultan itu, Cecil berkata pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Februari 2009, adalah mengikut undang-undang.

"Asas atau kuasa yang ada kepada responden untuk memegang jawatan Menteri Besar adalah susulan daripada pelantikan beliau mengikut Perkara 16(2) Undangundang Tubuh Negeri Perak dan upacara angkat sumpah jawatan dan Surat Pelantikan yang dikeluarkan oleh Sultan Perak," katanya.

Sebelum ini, pada hari ketiga perbicaraan, peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar, memberitahu mahkamah bahawa bukan fungsi Sultan Perak, mengikut Perkara 16(6) UndangUndang Tubuh Negeri Perak, untuk menyiasat sama ada Menteri Besar telah kehilangan kepercayaan majoriti.

"Tuanku terikat dengan nasihat Menteri Besar dan Sultan boleh berkata ya atau tidak terhadap permohonan bagi pembubaran dewan, tetapi bukan fungsi baginda untuk menyiasat dan memutuskan bahawa Menteri Besar telah hilang kepercayaan majoriti," katanya.

Pada 13 Februari, Nizar, 52, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac tahun lepas, memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) memohon diisytiharkan yang beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Abdul Aziz menetapkan esok untuk mendengar hujahan penggulungan Sulaiman. BERNAMA

Artikel Lain