Pemandangan hadapan pintu utama Bangunan Perak Darul Ridzuan. IPOH: Polis menahan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu di ibu negara, semalam kerana dipercayai menggerakkan usaha mengadakan perhimpunan tidak sah sempena perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.Mohamad ditahan di Jalan Pahang, Kuala Lumpur kira-kira 3.35 petang semalam. Ketika mendedahkan perkara itu di sini petang semalam, Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pemimpin PAS itu dipercayai cuba meminta orang ramai menyertai perhimpunan memprotes sempena sidang DUN yang bermula semula hari ini.Beliau menyatakan demikian pada sidang media petang semalam.Dalam pada itu beliau berkata, polis telah memperoleh perintah mahkamah melarang parti-parti politik dan orang ramai daripada berhimpun di kawasan 500 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzwan, tempat terletaknya Dewan Undangan Negeri."Notis larangan akan ditampal petang ini, larangan berkuat kuasa serta-merta dan orang ramai diminta supaya jangan berhimpun di kawasan bangunan SUK," katanya.Mesyuarat kedua penggal ke-12 akan dirasmikan oleh Raja Muda Raja Nazrin Sultan Azlan pagi ini.Sehubungan itu, notis telah dikeluarkan kepada staf bangunan SUK supaya meninggalkan premis itu bermula 5.30 petang semalam.Selain itu notis tersebut menasihatkan kakitangan di bangunan berkenaan datang awal hari ini memandangkan jalan-jalan ke arah premis SUK akan ditutup mulai 5.30 pagi.