suria

Petani bimbang ancaman babi bawa virus H1N1

PASIR PUTEH: Lebih 300 petani dari lima buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri Limbongan di sini bimbang ancaman babi yang aktif merosakkan tanaman mereka sejak lima tahun lalu membawa pula kepada merebaknya penyakit influenza A, H1N1.

Penyelia Pembangunan Mukim Kampung Nara, Ibrahim Ahmad berkata babi liar itu hidup di kawasan semak berdekatan, dan bergerak hingga ke kawasan rumah penduduk terutama pada waktu malam.

Beliau berkata kampung yang mempunyi masalah dengan babi ialah di Kampung Nara, Telaga Gayong, Merkang, Padang Pak Amat dan Kampung Jerat.

"Pernah satu ketika seorang penduduk di Kampung Nara cedera apabila diserang seekor babi di belakang rumahnya," kata Ibrahim. Seorang petani dari Kampung Telaga Gayong, Berahim Mamat, 70, berkata kirakira satu hektar tanaman ubi kayu yang diusahakan sejak sebulan lepas musnah sama sekali dimakan binatang berkenaan.

"Walaupun berpuluhpuluh ekor telah mati ditembak oleh anggota Rela, tidak kurang 100 ekor lagi masih berkeliaran di kampung kami," katanya.

Penolong Pegawai Pertanian Jajahan Pasir Puteh, Yahya Yaakob berkata pihaknya sedang mengatur program untuk memusnahkan binatang itu tidak lama lagi.

"Anggota Rela dan penduduk kampung akan diminta untuk membantu memburu binatang ini secara gotongroyong dan kalau perlu khidmat anjing untuk mengesan tempat persembunyian mereka akan diusahakan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain