suria

Pengurusan kes saman fitnah Puspakom pada 1 Julai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 1 Julai bagi pengurusan kes lanjutan saman fitnah yang dikemukakan Puspakom Sdn Bhd terhadap presiden Persatuan Ampunya Lori Pan-Malaysia.

Timbalan Pendaftar Nazri Ismail menetapkan tarikh itu selepas kes itu dikemukakan bagi pengurusan kes di dalam kamar hari ini.

Puspakom mengambil tindakan undang-undang terhadap Er Sui See atas dakwaan membuat kenyataan memfitnah berhubung monopoli persatuan itu dalam perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang diterbitkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 1 Jun tahun lepas.

Puspakom memfailkan saman terhadap Er pada 10 Okt tahun lepas memohon ganti rugi, perintah injunksi untuk menghalang Er daripada terus membuat kenyataan memfitnah, permohonan maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Er, bagaimanapun dilantik ahli jawatankuasa stakeholders Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ahli lembaga pemantau Puspakom pada 28 April tahun ini.

Dalam pernyataan tuntutan, syarikat itu mendakwa perkataan memfitnah yang dibuat oleh Er telah menjejaskan reputasi syarikat itu.

Puspakom mendakwa, menerusi surat bertarikh 3 Julai tahun lepas, ia menuntut Er menarik balik kenyataannya itu, memohon maaf dan ganti rugi yang munasabah tetapi ER enggan memenuhi tuntutan itu.

Dalam pernyataan pembelaannya, Er berkata kenyataan itu dibuat atas kapasitinya sebagai presiden persatuan dan isi kandungannya berdasarkan maklum balas dan maklumat yang diperoleh persatuan itu dan anggotanya.

Er mendakwa kenyataan itu adalah komen yang adil mengenai perkara berkepentingan awam.

Peguam Chen Hong Lynn mewakili Puspakom manakala Andrew Suresh mewakili Er. BERNAMA

Artikel Lain