suria

Penanti: Mahathir 'puasa suara'

PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan kesediaannya untuk turun berkempen membantu calon Barisan Nasional (BN) jika parti itu memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 mei ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk turut serta dalam aktiviti kempen sekiranya khidmat beliau diperlukan untuk membantu parti.

"Jika mereka mahu...saya akan pergi. Saya sekarang ahli Umno.

"Tapi kalau bukan (ahli) pun, jika saya mahu, saya pergi juga," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama Siri Syarahan Perdana kesembilan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi kerusi DUN Penanti ialah 23 Mei ini dan jika ada pertandingan, hari pengundian akan diadakan pada 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

PKR telah mengumumkan calonnya, Mansor Othman bagi bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Selain PKR, calon Bebas, Aminah Abdullah yang juga bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

Bagaimanapun BN masih belum menetapkan pendirian sama untuk bertanding pada pilihan raya kecil Penanti ataupun tidak.

Mahathir yang diminta mengenai perkara tersebut bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

"Saya dah cakap sebelum ini, jadi saya tak mahu cakap lagi...saya puasa suara," katanya dengan berseloloh.

Beliau sebelum ini berkata, BN tidak sepatutnya mengaku kalah, sebaliknya perlu meletakkan calon bertanding jika pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan.

Artikel Lain