suria

Penahanan lelaki tumpaskan sindiket kereta

KUALA LUMPUR: Penahanan seorang lelaki di sebuah rumah di Seksyen 3/9 Seri Kembangan di sini semalam membawa kepada pembongkaran kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata lelaki berumur 48 tahun itu ditahan di rumah berkenaan pada 2.30 pagi ini dan dipercayai terlibat dalam beberapa kes curi kereta di daerah Ampang, Brickfields, Serdang dan Petaling Jaya.

"Apabila menyedari rumahnya diserbu polis, suspek menyorok dalam sebuah rangka kereta di bengkel dalam rumah terbabit, bagaimanapun dia berjaya diberkas," katanya di tempat kejadian.

Zainal Rashid berkata polis turut merampas lima buah kereta iaitu dua buah Proton Iswara, sebuah Perodua Kembara dan sebuah Perodua Rusa dalam rumah itu.

"Kita tidak menolak kemungkinan suspek telah bergiat aktif dalam sindiket curi kereta sejak 2006 dan komponen kereta yang dicuri dipercayai dijual kepada pihak tertentu untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

"Kita masih menyiasat jika terdapat ahli kumpulan sindiket ini yang masih bebas," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dalam kes yang sama. BERNAMA

Artikel Lain