suria

Sampel diambil daripada Sujatha hilang - doktor

KUALA LUMPUR: "Sampel hilang". Perkara itu menjadi tumpuan pada hari keempat inkues kematian aktres tempatan K. Sujatha.

Dua doktor dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah memberikan keterangan yang mereka tidak dapat mengesahkan apa yang sebenarnya berlaku kepada sampel yang diambil daripada aktres itu.

Pertamanya, Dr Vengkata Prathab berkata beliau mengarahkan sampel darah, air kencing dan cairan gaster diambil daripada aktres itu pada hari pertama beliau dimasukkan ke wad kecemasan hospital itu pada 19 Jun, 2007.

"Saya arahkan sampel ini diambil serta merta selepas beliau tiba di wad kecemasan tetapi bagaimanapun kemudiannya doktor yang merawatnya di wad biasa tidak menerima laporan mengenai ujian itu," katanya.

Dr Prathab bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis bahawa keputusan sampel itu amat penting untuk membuat rumusan bahawa pesakit itu meninggal dunia akibat racun.

Dr Prathab turut memberitahu koroner Mohd Fauzi Che Abu yang beliau sendiri mengalami pengalaman pahit apabila sampel yang diambil daripada ibunya telah dilaporkan hilang.

"Walaupun kes seperti ini jarang berlaku berlaku tetapi doktor tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana ia melibatkan beberapa jabatan hospital di mana dalam kes Sujatha, saya dan doktor lain lebih menumpukan untuk memberikan rawatan kecemasan kepada pesakit," kata Dr Prathab.

Beliau memberikan keterangan pada inkues kematian Sujatha, 28, yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang pada 25 Jun, 2007, empat hari selepas dimasukkan atas dakwaan meminum racun rumpai.

Episod kehilangan sampel itu tidak berakhir di situ apabila pegawai perubatan Dr Lim Ai Wei berkata beliau mengambil sampel air kencing Sujatha pada hari berikutnya untuk memeriksa kehadiran racun paraquat.

"Apabila saya gagal menerima keputusan pada keesokannya, saya secara peribadi pergi ke makmal untuk memeriksa apa yang telah berlaku. Tetapi staf di makmal mendakwa mereka tidak menerima sampel daripada wad Sujatha dirawat," kata Dr Lim.

Keterangan keduadua doktor itu mencetuskan pertikaman lidah antara Fernandis dan peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings Bhd, Vell Paari apabila Kumaraendran berkata adalah tidak wajar untuk menyalahkan doktor bagi kehilangan sampel itu.

Fernandis berkata beliau tidak menyalahkan doktor tetapi hanya menegaskan kepada koroner bahawa dalam kes perubatan-perundangan seperti kes Sujatha, isu kehilangan sampel tidak boleh dipandang ringan.

Kumaraendran menjawab inkues itu bukan forum yang sesuai untuk membangkitkan isu itu sambil menegaskan perkara itu patut diselesaikan oleh Kementerian Kesihatan.

Terdahulu, adik lelaki bongsu Sujatha memberitahu inkues itu bahawa beliau dan abangnya meminta doktor supaya tidak melakukan bedah siasat ke atas kakaknya itu.

K. Surenthiran, 26, berkata oleh kerana punca kematian kakaknya itu dinyatakan dengan jelas akibat racun paraquat dalam sijil kematiannya, mereka mahu mengelakkan mayat kakaknya daripada dibedah siasat.

Surenthiran, jurutera sistem dengan Maika Intelectual Resources, anak syarikat Maika Holdings Bhd, berkata beliau juga meminta bantuan Dr S. P Sakthiveloo yang bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah dalam menuntut mayat kakaknya itu.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Geethan Ram Vincent mengenai kenapa beliau membenarkan Paari membuat kenyataan akhbar menyatakan Sujatha meninggal dunia akibat ketumbuhan di ovarinya, Surenthiran berkata itu adalah atas permintaan keluarganya.

"Keluarga saya mahu Paari mengeluarkan kenyataan itu sematamata untuk melindungi maruah kakak saya walaupun kami sedar yang kenyataan itu tidak benar dan palsu," katanya.

Beliau juga berkata yang beliau tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat dalam kematian kakaknya atau kemungkinan beliau membunuh diri.

"Saya amat rapat dengannya dan beliau tidak pernah menceritakan kepada saya mengenai sebarang masalah peribadi tetapi kerap mengadu sakit perut beberapa bulan sebelum meninggal dunia," katanya.

Kepada soalan lain, Surenthiran berkata Paari membiayai pembelajarannya di Australia.

Perbicaraan disambung esok. BERNAMA

Artikel Lain