suria

Polis berkas petani bersama 27 kilogram ganja

ALOR SETAR: Polis memberkas seorang petani dan merampas 27 kilogram ganja yang dimampatkan di Kampung Tebing Tinggi, Kupang, Baling, dua hari lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata seorang rakan petani itu bagaimanapun melepaskan diri semasa satu pasukan polis dari Jabatan Narkotik Kedah membuat serbuan.

Beliau memberitahu pemberita hari ini bahawa ganja itu yang bernilai RM80,000, dipercayai diseludup masuk dari negara jiran, untuk diedar di Selama, Perak, kawasan tempat tinggal petani berusia 45 tahun itu.

"Sepasukan polis diketuai Cif Inspektor Muhamad Amin terpaksa mengintip seharian sebelum dapat memberkas petani itu pada pukul 5.15 petang," kata Syed Ismail.

Beliau berkata pasukan itu menyerbu selepas petani itu mengambil satu karung plastik dari dalam semak di tepi jalan di Kampung Tebing Tinggi lalu berjalan menuju ke sebuah kereta.

"Pemandu kereta itu bagaimanapun memecut apabila menyedari polis menyerbu ke arahnya tetapi pasukan itu dapat mencatatkan nombor pendaftaran kereta tersebut dan sedang mengesannya," katanya.

Siasatan awal mendapati petani itu mempunyai rekod kesalahan penyalahgunaan dadah dan ujian air kencing mengesahkan dia positif ganja.

Syed Ismail berkata seramai 71 orang termasuk seorang wanita diberkas bagi tempoh Januari hingga April tahun ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. BERNAMA

Artikel Lain