suria

Pengarah syarikat pembekalan minyak didakwa tipu RM10 juta

PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat pembekalan minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap empat pertuduhan membuat surat akujanji palsu bagi menipu syarikat pembeli melibatkan lebih RM10 juta, kira-kira dua tahun lepas.

Datuk M.Khairil Anwar Ismail, 46, pengarah syarikat Oriental Petroleum Sdn Bhd didakwa membuat surat akujanji palsu kepada syarikat Cito Marketing (M) Sdn Bhd berkaitan pembekalan 'Petronas Diesel' bagi mendorong syarikat itu mendepositkan RM10,320,750 ke dalam akaun Syarikat Oriental Petroleum Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Cito Marketing (M) Sdn Bhd di No. 11, Jalan SS 15/4b, 47500, Subang Jaya, di antara 28 Mei 2007 dan 22 Jun 2007.

M. Khairil Anwar juga dituduh menggunakanwang syarikat berjumlah RM3,894,908 untuk tujuan peribadi di tempat dan pada masa yang sama.

Bagi keduadua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 132(1) Akta Syarikat 1965 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 132(3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda RM30,000.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa bersubahat dengan ketua pegawai operasi syarikat, Noorizan Shukor, 59, membuat surat akujanji palsu bagi mendorong Cito Marketing mendepositkan RM10,320,750 ke dalam akaun syarikat Oriental Petroleum Sdn Bhd di tempat dan pada masa yang sama.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan M.Khairil Anwar diikat jamin RM100,000 dan menetapkan 17 Jun untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Azmil Haron manakala tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Lain