suria

Pelucutan jawatan Nizar akibat hilang kepercayaan, hujah - Peguam Negara

KUALA LUMPUR:, 5 Mei (Bernama) Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak memecat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar kerana pelucutan jawatannya dibuat secara sah mengikut Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak kerana beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhujah bahawa Tuanku Sultan telah mematuhi Perlembagaan Perak dan telah menimbang dengan teliti fakta dan perkembangan sebelum mengisytiharkan pada 5 Februari lepas bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dalam Dewan itu.

"Saya dapati bahawa Baginda Sultan Perak telah menjalankan tugas dengan cara paling hormat," kata Abdul Gani dalam penghujahannya selaku pencelah dalam prosiding semakan undangundang yang difailkan oleh Mohammad Nizar pada 13 Feb lepas.

Mohammad Nizar, 52, memohon perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah selain untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari, daripada menjalankan tugas itu.

Abdul Gani berkata untuk menentukan tidak berlaku sebarang kecacatan dalam keputusan Baginda, Sultan Azlan Shah telah memanggil dan menyoal tiga anggota Dewan, yang dahulunya daripada partiparti pakatan pembangkang, terdiri Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) bagi memastikan bahawa Barisan Nasional mendapat sokongan mereka.

"Baginda telah menemui kesemua 31 anggota Dewan yang menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional," katanya.

Abdul Gani berhujah bahawa oleh kerana Mohammad Nizar telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan, beliau secara automatik hendaklah meletak jawatan sebagai Menteri Besar seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

"Perkataan 'hendaklah meletak jawatan' dalam Perkara 16 (6) bermaksud 'mandatori'. Jika kita kehilangan kepercayaan, adakah kita masih hendak tunggu.

"Sebaik saja seseorang itu kehilangan kepercayaan, dia mesti meletak jawatan. Kita tidak boleh ada seorang Menteri Besar yang tidak mendapat kepercayaan majoriti," katanya.

Abdul Gani berkata bahawa Sultan Perak tidak pernah memecat seorang Menteri Besar sebaliknya Menteri Besar hendaklah meletak jawatan jika dia tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan.

"Itu adalah undang-undang dan itulah proses demokrasi," katanya.

Abdul Gani juga memberitahu mahkamah bahawa perlembagaan tidak mempunyai peruntukan agar satu usul undi tidak percaya dibuat sebelum Mohammad Nizar boleh dilucutkan jawatan.

"Baginda Sultan Perak sendiri telah memastikan perkara sebenar, dengan memanggil kesemua 31 anggota Dewan berkenaan, sebelum membuat keputusan bahawa pemohon (Mohammad Nizar) telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan," katanya.

Sebelum itu, Mohammad Nizar ketika menyambung keterangan semasa disoal balas, berkata beliau hanya tahu mengenai penarikan balik surat letak jawatan tiga ADUN berkenaan selepas menghadap Sultan Perak pada 5 petang 4 Februari.

"Saya hanya tahu selepas saya keluar dari Istana, apabila pegawai saya memberitahu melalui telefon pada pukul 6 petang, bahawa keluar kenyataan dalam berita menyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa ketiga-tiga ADUN melompat ke parti Barisan Nasional dan BN ada majoriti," katanya.

Prosiding disambung semula petang ini di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim. BERNAMA

Artikel Lain