suria

Pakatan: Zambry, 6 Exco masih tak layak hadir sidang DUN Khamis

IPOH: Pakatan Rakyat Perak masih berpendirian bahawa Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam exco yang lain tidak berhak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula Khamis ini.

Datuk Ngeh Koo Ham, Exco Kanan semasa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak dan Penyelaras Pasukan Peguam-Peguam Pakatan Rakyat berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu tidak membenarkan Zambry dan enam exconya memasuki Dewan Undangan Negeri, Khamis ini.

"Banyak kekeliruan telah timbul akibat daripada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu sama ada Zambry dan 6 ADUN yang lain berhak untuk masuk ke Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei ini," katanya.

Katanya, pada 18 Februari lalu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri telah membuat keputusan untuk menggantung Zambry daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri selama 18 bulan dan Zainol Fadzi Paharuddin (ADUN Sungai Manik), Datuk Ramly Zahari (ADUN Manong), Hamidah Osman (ADUN Sungai Rapat), Saarani Mohamad (ADUN Rungkup), Mohd Zahir Abdul Khalid (ADUN Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (ADUN Chenderiang) digantung daripada hadir sidang Dewan Undangan Negeri selama 12 bulan.

Keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tersebut telah diterima dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri yang telah bersidang pada 3 Mac.

Tambah beliau, pihak Zambry dan enam ADUN tersebut telah memohon kepada mahkamah untuk satu pengisytiharan berkenaan dengan penggantungan mereka daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri.

Mereka telah mengambil tindakan mahkamah tersebut terhadap Speaker dan Dewan Undangan Negeri Perak Darul dan kes tersebut telah dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk perbicaraan.

Bagaimanapun pada 2 April lalu mereka telah memohon menarik balik tindakan mahkamah tersebut terhadap Dewan Undangan Negeri dan tindakan terhadap Dewan Undangan Negeri telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada hari tersebut.

Pada 16 April lalu Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua daripada 10 perintah yang dipohon oleh mereka dan sekarang sudah timbul persoalan sama ada Zambry dan enam ADUN yang tersebut di atas boleh menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri.

Oleh yang demikian, katanya, keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan Dewan Undangan Negeri masih sah dan berkuat kuasa dan Speaker DUN sebagai pengerusi dan ahli dalam Jawatankuasa tersebut dan Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan adalah terikat dengan keputusan yang telah diputuskan oleh kedua-dua badan tersebut.

"Sebenarnya kes tersebut tidak harus dibawa terhadap Speaker DUN kerana perlindungan yang diberikan kepada Speaker DUN di bawah Seksyen 3 Legislative Assembly (Privileges) Enactment 1959. Tambahan pula, keputusan Mahkamah Persekutuan merupakan satu pengisytiharan sahaja dan bukannya satu certiorari atau mandamus, katanya lagi.

Artikel Lain