suria

Tuduhan melampau: Zambry buat laporan polis

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Khalil Idham Lim yang didakwa membuat tuduhan melampau kepada beliau dan Barisan Nasional (BN) menerusi satu kenyataan media hari ini.

Zambry yang juga Adun Pangkor berkata tuduhan melampau dan keterlaluan itu turut disiarkan dalam laman blog milik Khalil Idham di idhamlim.blogspot.com.

"Ini sikap seorang Adun yang menjijikkan, memualkan dan tidak mempunyai prinsip agama dengan membuat tuduhan keterlaluan dan melampau.

"Dia membuat tuduhan yang begitu terdesak. Kalau ia pun, ini bukan cara untuk bertindak mengikut suka hati dia. Ini satu tindakan keterlaluan.

"Saya membuat laporan polis dan telah berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan undangundang," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini malam tadi.

Zambry mengulas entri bertajuk 'Kenyataan Media Adun Titi Serong' yang disiarkan di laman blog berkenaan.

Entri itu antara lain mendakwa Zambry dan BN telah membenarkan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimasuki oleh 'bomoh' untuk menjampi kerusi Speaker DUN dan mendesak Mufti Perak supaya mengeluarkan fatwa berhubung perkara berkenaan.

Zambry berkata beliau telah membuat satu laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Kampung Rapat di sini.

Beliau menyifatkan tindakan itu berniat jahat dan cuba menanam serta mengapiapikan kebencian rakyat terhadap beliau dan BN dalam keadaan di mana DUN akan bersidang Khamis ini.

"Penipuan ini tidak boleh dibiarkan. Saya telah banyak bersabar termasuk dengan ceramah-ceramah yang dijalankan mereka yang melemparkan fitnah dan tuduhan tidak berasas tetapi kenyataan media pagi tadi satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap ADUN Titi Serong tersebut yang turut mengheret Mufti Perak yang sebelum ini dihina oleh pembangkang dalam entri berkenaan.

"Saya tidak boleh bertolak ansur dan tindakan ini sangat tidak bertanggungjawab kerana dia (Khalil Idham) juga merupakan seseorang yang memegang 'Yang Berhormat' ditambah lagi 'orang agama' yang sepatutnya tahu hukum-hakam agama," kata Zambry. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain