suria

GMP rancang temui Muhyiddin bincang isu PPSMI

PETALING JAYA: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) berharap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudi mengadakan pertemuan dengan mereka bagi membincangkan mengenai gesaan supaya kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, pihaknya sedang merangka pertemuan dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu ini.

"Kita tidak pernah berhenti dengan pendirian untuk mansuhkan PPSMI, kita sedang rancang untuk adakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran bagi bebincang tentang perkara ini.

"Oleh itu kita berharap beliau dan timbalannya sudi meluangkan masa untuk berjumpa dengan kita," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata GMP terus konsisten dalam perjuangan mereka dan tindakan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Pejalaran merupakan langkah susulan terhadap gesaan mereka.

"Matlamat kita tetap sama, perbincangan dengan menteri dan timbalan menteri adalah langkah seterusnya bakal kita ambil," katanya.

Jelas Hassan, beliau percaya melalui perbincangan antara GMP dan Kementerian Pelajaran, satu keputusan akan dapat dicapai bagi menyelesaikan isu dasar PPSMI.

Bagaimanapun bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka itu menjelaskan pihaknya masih belum mengemukakan sebarang permohonan bagi mengadakan pertemuan tersebut kepada pihak kementerian.

"Kita belum hantar surat permohonan, tapi ia akan diuruskan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain