suria

PAS nafi Anwar pengaruhi pemilihan bulan depan

PETALING JAYA: PAS menafikan dakwaan wujudnya campur tangan mana-mana pihak termasuk Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya cuba mempengaruhi keputusan pemilihan parti itu bulan depan.

Beberapa pemimpin PAS yang dihubungi menolak sekeras-kerasnya dakwaan tersebut yang dilihat sengaja ditimbulkan bagi mencetuskan suasana tidak baik dalam parti itu.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Sallahuddin Ayob berkata, tidak timbul wujudnya campur tangan daripada pihak luar bagi menentukan kepimpinan parti itu kerana ahli dan penyokongnya tahu untuk mencorakkan barisan kepimpinan yang diinginkan.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya jika ada dakwaan yang katakan pemimpin kita dipengaruhi oleh orang luar.

"Tak timbul langsung soal pengaruh itu kerana PAS tahu bagaimana hendak tentukan lanskap politik kami," katanya kepada mStar Online.

Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Perpaduan Islam, Datuk Zulkifli Mohamad mendakwa Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba mempengaruhi keputusan pemilihan Muktamar Pas bulan depan dengan menyokong kumpulan tertentu yang cenderung kepada pemikiran politiknya.

Beliau mendakwa Anwar berusaha mempengaruhi dan memenangkan pemimpin tertentu PAS yang menyokong kepada ideologinya.

Bagaimanapun Sallahuddin berkata beliau percaya dakwaan sedemikian dibuat bagi memecahbelahkan hubungan yang wujud antara PAS dan PKR menerusi kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

"Mereka cuba pecah belahkan hubungan kami dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Selain itu mengenai dakwaan yang mengatakan bahawa wujudnya perpecahan dalam parti terutamanya menjelang Muktamar PAS ke-55 bulan depan, beliau berkata, perkara tersebut tidak timbul.

"Tidak ada perpecahan, kalau perbezaan pendapat itu perkara biasa dalam politik.

"PAS merupakan parti yang demokratik dan sesiapa sahaja boleh keluarkan pandangan, perkara-perkara ini sebenarnya akan lebih mematangkan parti," katanya.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, sepanjang pengetahuannya tidak wujud sebarang pengaruh daripada mana-mana pihak menjelang pemilihan parti.

"Apa yang saya tahu memang tak adalah pihak yang cuba mempengaruhi orang-orang tertentu.

"Dalam PAS kita tak dengarlah perkara seumpama itu berlaku," katanya yang juga Pengerusi Pemilihan Muktamar PAS ke-55 yang akan diadakan di Shah Alam, Selangor.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu turut menafikan mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata, dakwaan seumpama itu hanya merupakan sangkaan yang tidak berasas untuk memburukkan imej PAS.

"Itu hanya sangkaan semata-mata, tidak ada kebenarannya pun... mana ada orang luar pengaruhi kita," katanya.

Artikel Lain