suria

PKR bukan parti paling popular di Penanti - Tun Abdullah

KEPALA BATAS: Cadangan PAS untuk meletakkan calon bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini menunjukkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan parti paling popular di kawasan itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata walaupun DUN Penanti yang terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR, ternyata terdapat pengundi yang mahu kawasan itu diwakili PAS.

"Apa yang disuarakan PAS Permatang Pauh itu adalah suara akar umbi dan saya percaya ada penduduk di situ ada perasaan dan kecenderungan untuk memilih calon tertentu yang mewakili parti tertentu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang bagi kawasan Parlimen Kepala Batas di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan PAS meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu walaupun PKR telah mengumumkan calonnya.

Selasa lepas, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti, pada 31 Mei.

Kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Mohammad Fairus Khairuddin.

Abdullah berkata tindakan PAS itu juga menunjukkan tiada kesepakatan di kalangan parti dalam pakatan pembangkang PKR, PAS dan DAP.

Semalam, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Hafiz Mohd Nordin berkata parti itu tetap mahu meletakkan calon mereka pada pilihan raya itu.

Katanya tindakan itu adalah permintaan akar umbi dan Pemuda parti itu sendiri telah mempunyai calon yang sesuai untuk bertanding.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar, 72.68 peratus daripadanya pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lainlain bangsa.

Di KUALA LUMPUR, Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata pertelingkahan mengenai calon yang sesuai untuk bertanding di dalam pilihan raya kecil DUN Penanti di Pulau Pinang hanya sandiwara parti pembangkang.

Beliau berkata pertelingkahan seperti ini sering berlaku setiap kali pilihan raya kecil diadakan.

"Di peringkat awal, selalunya adalah sedikit berita-berita seperti ini, seolah-olah ada pertelingkahan antara mereka.

"Tetapi akhirnya sebelum penamaan calon, akan ada satu kata sepakat antara mereka yang kononnya mereka sudah bersatu dalam hal ini, padahal pada hemat saya ini semua sandiwara sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas pelancaran awal Intrade Malaysia 2009 di sini hari ini.

Mukhriz berkata walaupun akhirnya parti-parti komponen dalam pakatan pembangkang itu berjaya mencapai kata sepakat, ia hanyalah sekadar untuk memuaskan hati pihak-pihak tertentu yang mewakili parti-parti komponen dalam pakatan tersebut.

"Saya percaya akhirnya calon PKR juga yang akan bertanding mewakili pakatan pembangkang kerana sebelum ini calon mereka juga dan saya tak nampak bahawa PAS akan berjaya dalam hasrat mereka untuk menamakan seorang calon untuk Penanti nanti," katanya. BERNAMA

Artikel Lain