suria

Kementerian Kesihatan: Selesema babi kini dirujuk influenza A (H1N1)

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menunjukkan senarai hospital bagi rawatan influenza A (H1N1) di Kuala Lumpur hari ini. foto The Star oleh AZMAN GHANI
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menunjukkan senarai hospital bagi rawatan influenza A (H1N1) di Kuala Lumpur hari ini. foto The Star oleh AZMAN GHANI
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menunjukkan senarai hospital bagi rawatan influenza A (H1N1) di Kuala Lumpur hari ini. foto The Star oleh AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mulai sekarang akan merujuk wabak selesema babi sebagai influenza A (H1N1) seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berharap pihak media akan menggunakan istilah baru itu bagi tujuan penyeragaman.

"Dengan penyeragaman nama wabak influenza A(H1N1) ini, ia akan memudahkan laporan, berita akan lebih tepat dan tidak akan menimbulkan kebimbangan kepada mana-mana pihak," katanya selepas mengadakan wawancara di stesen Radio Star FM di sini hari ini.

Liow berkata, hasil siasatan WHO mendapati penyebaran wabak itu bukan berpunca daripada kandang-kandang babi yang terletak berdekatan desa di Mexico, negara pertama yang tercetus wabak itu.

Beliau juga berkata, Kementerian Kesihatan telah menempatkan alat pengimbas di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambah Murah di Sepang bagi melakukan saringan kesihatan terhadap penumpang yang tiba dari luar negara.

"Setakat ini kami hanya menjalankan saringan kesihatan terhadap penumpang dari negara yang dilaporkan berlakunya kes influenza A (H1N1) seperti Mexico, Amerika Syarikat dan negara Eropah," katanya.

Sementara itu, tiada tanda jangkitan influenza A (H1N1) dikesan di kalangan 829 penumpang daripada 16 penerbangan antarabangsa yang menjalani saringan kesihatan semalam.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman dalam kenyataan berkata kementerian itu dengan kerjasama Jabatan Imigresen sedang mempergiatkan aktiviti saringan kesihatan di kesemua pintu masuk negara yang utama.

Beliau juga berkata, sehingga semalam tiada laporan kes yang disyaki melibatkan wabak berkenaan manakala pemantauan penyakit selesema di semua fasiliti perubatan dan kesihatan di seluruh negara juga mendapati tiada peningkatan kes.

Dr Hasan berkata bilik gerakan kementerian dan Jabatan Kesihatan negeri akan terus memantau situasi wabak influenza A (H1N1) dan memastikan tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk.

Menurut WHO, dua negara baru yang dilanda jangkitan wabak itu adalah Switzerland dan Belanda dengan masing-masing mempunyai satu kes, menjadikan jumlah 11 negara yang terbabit dengan wabak itu dengan 257 kes termasuk lapan kematian. BERNAMA

Artikel Lain