suria

Pertandingan cipta lagu 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menganjurkan Pertandingan Mencipta Lagu 1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, konsep yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Jabatan Penerangan, pertandingan mencipta lagu dan lirik tersebut terbuka kepada semua pencipta lagu warga Malaysia sama ada amatur atau profesional.

"Objektif pertandingan ialah bagi mengembang dan mempopularkan lagu-lagu patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia, meningkatkan aspirasi dan minat pencipta lagu terhadap penciptaan lagu patriotik serta melahirkan semangat patriotisme," kata jabatan tersebut dalam satu kenyataan.

Lagu yang dicipta hendaklah merupakan ciptaan asal dan tidak melebihi jangka masa dua minit di mana liriknya hendaklah menggabungkan konsep 1Malaysia iaitu merangkumi penyatuan kaum, kasih sayang, cintakan negara dan pembinaan negara bangsa tanpa menyentuh sensitiviti perkauman, agama dan politik.

Penyertaan harus dihantar dalam bentuk cakera padat (CD) dengan rakaman suara menggunakan sekurang-kurangnya satu alat muzik iringan atau menyertakan skor piano dengan lirik di bawah melodi.

Lampiran lirik juga harus disertakan dalam kertas berasingan.

Orang ramai boleh memuat turun borang penyertaan dari laman web www.moi.gov.my atau www.orkestrartm.my.

Pertanyaan lanjut boleh dilakukan dengan menghubungi Bahagian Muzik RTM di talian 03-2288 7853.

Tarikh tutup penyertaan ialah 15 Jun 2009. BERNAMA

Artikel Lain