suria

Pakatan Rakyat rancang bertemu SPR Rabu depan

PETALING JAYA: Pertemuan kedua antara Pakatan Rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan mengenai bantahan mereka terhadap larangan agar parti-parti politik daripada mengadakan pondok panas dan memancing undi pada hari mengundi dijangka pada Rabu depan.

Ahli Parlimen PAS, Kuala Selangor, Dr. Dzulkefli Ahmad berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada SPR mengenai hasrat mereka itu.

"Pakatan Rakyat sudah menghantar surat melalui faks kepada Pengerusi SPR bagi memaklumkan mengenai pertemuan yang ingin kita adakan itu.

"Dalam surat itu kita cadangkan agar pertemuan tersebut diadakan pada Rabu depan," katanya kepada mStar Online.

Rabu lalu Pakatan Rakyat sebulat suara menggesa SPR agar menarik balik keputusan mereka yang melarang parti-parti politik daripada mengadakan pondok panas dan memancing undi pada hari mengundi.

Gesaan tersebut kerana beranggapan alasan-alasan yang diberikan oleh suruhanjaya tersebut adalah tidak munasabah.

Bagaimanapun jelas Dzulkefli, pihaknya masih belum menerima maklum balas mengenai pertemuan tersebut.

"SPR belum jawab lagi sama ada setuju atau tidak dengan tarikh yang kita cadangkan itu," katanya.

Artikel Lain