suria

Koperal koma akibat langgar lari

KUALA LUMPUR: Seorang koperal polis koma apabila terbabit dalam satu kejadian langgar lari di Jalan Jelatek, Kampung Datuk Keramat, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan berkata Kpl Khalid Che Ros, 47, Penyelia Pejabat Pertanyaan Balai Polis Ampang ditemui terbaring di atas jalan oleh orang awam pada kirakira pukul 1.30 pagi.

"Ketika Khalid ditemui oleh orang awam, koperal itu dalam keadaan tidak sedarkan diri. Topi keledar yang dipakainya pecah dan terdapat beberapa kesan calar pada badannya.

"Kita percaya Kpl Khalid dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda berdasarkan kepada kerosakan pada motosikalnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika Khalid dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Taman Keramat.

Dia kini ditempatkan di Wad Saraf dan Urologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Sampai sekarang beliau masih tidak sedarkan diri (koma). Saya minta sesiapa sahaja yang ternampak kejadian itu agar segera menghubungi polis atau tampil di ibu pejabat polis yang berdekatan bagi menyalurkan maklumat," kata Abdul Jalil. BERNAMA

Artikel Lain