suria

Guru dituduh miliki gambar lucah pelakon Linda Rafar

KUANTAN: Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki gambar bogel pelakon terkenal Linda Rafar, kira-kira lima tahun lepas.

Tertuduh Foo Tip Hin, 56, didakwa memiliki dua disket bertajuk 'BW 1' dan 'Skandal Melayu LR' yang mengandungi gambar berunsur lucah pelakon itu di rumah No 16, Lorong Selamat 31, Jalan Telok Sisek, di sini, pada pukul 5 petang, 26 Nov 2006.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5 (1) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5 (2) akta yang sama yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau keduadua sekali, jika sabit kesalahan.

Selepas pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa mahkamah, Foo mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pegawai Pendakwa Cif Insp Mohamed Zakaria memohon mahkamah mengenakan ikat jamin berjumlah RM4,000 tetapi Foo, yang tidak diwakili peguam, merayu supaya jumlah itu dikurangkan atas alasan tidak mempunyai niat untuk melarikan diri dan perlu menanggung ibunya.

Majistret Nordiana Abd Aziz kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,500 dengan dua penjamin dan menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Lain