suria

Mansor bakal TKM I? Belum ada keputusan, kata Guan Eng

PULAU PINANG: Kerajaan negeri Pulau Pinang belum membuat keputusan berhubung hasrat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu bakal calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, pada dasarnya beliau tiada bantahan berhubung cadangan itu bagaimanapun perbincangan bersama exconya perlu diadakan terlebih dahulu.

"Berilah peluang untuk kami berbincang dahulu dan saya berjanji esok akan umumkan keputusan berhubung isu itu," kata beliau dipetik Bernama hari ini.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 telah dikosongkan oleh penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin pada 8 April lepas kerana mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pascaijazah.

Semalam, Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang , Mansor Othman, 56, dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti 31 Mei ini.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Anwar yang juga ketua pembangkang di hadapan kirakira 1,000 penyokong pada satu majlis di Yayasan Aman di sini.

Pada pilihan raya umum 2008, Mansor bertanding di DUN Pulau Betong menentang Muhamad Farid Saad dari BN tetapi tewas dengan majoriti 294 undi setelah mendapat 4,696 undi.

"Apa-apa pun calon itu perlu menang terlebih dahulu dalam pilihan raya kecil itu nanti, saya juga berkeyakinan bahawa PKR akan tetap menakluk Penanti.

"DAP sentiasa memberi sokongan padu kepada calon dan sebagai salah sebuah komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) kita juga telah mengarahkan jentera pilihan raya untuk bersiap sedia," katanya.

Terdahulu, Lim menerima cek berjumlah RM819,200 daripada Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee Datuk Loh Geok Beng berhubung pembelian tanah seluas 1.28 hektar di Jalan Hamilton di sini untuk membesarkan bangunan sekolah itu.

Tanah yang terletak berhampiran dengan sekolah tersebut adalah milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Artikel Sebelum

Artikel Lain