suria

DUN Penanti: Biro Politik Umno tangguh mesyuarat

PETALING JAYA: Biro Politik Umno yang dijadual akan mengadakan mesyuarat esok bagi memutuskan sama ada Umno akan meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan ditangguhkan sehingga Isnin depan.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan ketika dihubungi mengesahkan mengenai penangguhan tersebut.

"Sepatutnya Biro Politik akan bermesyuarat esok, tapi ia terpaksa ditangguhkan kerana Datuk Seri (Mohd) Najib (Tun Razak) mengadakan lawatan ke Brunei.

"Jadi Biro Politik akan mengadakan mesyuarat pada hari Isnin minggu depan," katanya kepada mStar Online.

Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Brunei.

Najib yang juga Pengerusi Biro Politik dijadual akan mempengerusikan mesyuarat itu nanti bagi menetapkan pendirian Barisan Nasional (BN) mengenai pilihan raya kecil Penanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi kerusi DUN Penanti ialah 23 Mei ini dan jika ada pertandingan, hari pengundian akan diadakan pada 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

Maklumat yang diperoleh daripada lawan web Umno juga memberitahu mesyuarat berkenaan akan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib-naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain itu mesyuarat tersebut juga bakal dihadiri oleh ketua pergerakan sayap-sayap parti, Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan Setiausaha Kerja serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri.

Antara perkara lain yang dijangka akan turut dibincangkan ialah mengenai situasi politik semasa.

Artikel Sebelum

Artikel Lain