suria

Najib mahu faham denyut nadi rakyat

PUTRAJAYA: Berpandukan pendekatan Allahyarham ayahandanya, Datuk Seri Najib Tun Razak juga inginkan pentadbirannya memahami denyut nadi rakyat agar ia berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan seharian rakyat.

Perdana Menteri berkata, siri "walkabout" atau tinjauan mesra oleh beliau di kawasan-kawasan tertentu bukan sahaja bagi membolehkan beliau mendekati rakyat tetapi lebih penting supaya beliau dapat merasai sendiri secara visual dan melalui panca deria akan segala bau dan hiruk pikuk serta likuliku kepayahan yang dilalui oleh orang ramai dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

"Contohnya, bagaimana kita hendak menggubal dasar pengangkutan awam jika kita sendiri tidak turun ke bawah menaiki LRT dan komuter atau bas yang menjadi nadi pengangkutan selama ini," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Tak sampai sebulan memegang jawatan Perdana Menteri, Najib telah membuat tinjauan sambil berjalan dan menemui oprang ramai di Petaling Street, Pantai Dalam dan Brickfields bagi meninjau kehidupan masyarakat akar umbi.

Minggu lepas pula, beliau meninjau sistem pengangkutan awam dengan menaiki LRT dan melawat stesen bas Puduraya.

Najib berkata, beliau teringat pendekatan Allahyarham ayahandanya, Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, yang turun merapati rakyat ke kampung, sawah bendang, tanah-tanah rancangan serta menaiki basikal dan berperahu.

Najib berkata, memang jelas pengalaman yang diperoleh itu amat berharga dan penilaian yang dapat dibuat sangat berbeza berbanding penilaian berasaskan laporan-laporan dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin yang terpisah jauh daripada realiti kehidupan.

Perdana Menteri berkata, sebab itulah beliau mahukan pegawai-pegawai tinggi kerajaan juga turun padang dari semasa ke semasa untuk memahami masalah pelanggan masing-masing.

"Jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa.

"Kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat, barulah kita mampu mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut," katanya.

Najib berkata, beliau sangat menekankan empati dalam pentadbirannya agar penyelesaian yang dicapai bagi setiap masalah rakyat adalah bertepatan dengan hasrat mereka yang sebenarnya. BERNAMA

Artikel Lain