suria

Media asing: PAS syor Suruhanjaya Diraja bersihkan nama negara

KUALA LUMPUR: PAS meminta Majlis Raja-Raja Melayu menubuhkan Suruhanjaya Diraja Memulihkan Nama Baik Negara bagi membersihkan nama baik negara dan Perdana Menteri berikutan tuduhan dilemparkan oleh media asing sejak kebelakangan ini.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya telah menyerahkan memorandum berkaitan untuk pertimbangan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang Julai ini.

"Kami melihat bahawa laporan media asing itu telah memberikan aib kepada negara, rakyat serta institusi Yang di-Pertuan Agong yang bertanggungjawab memperkenankan pelantikan Perdana Menteri.

"Kita sebagai rakyat yang sentiasa mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong merasakan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membersihkan nama baik negara dan Raja-raja Melayu di negara ini," katanya selepas menyerahkan memorandum berkaitan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah hari ini.

Turut hadir ialah ialah Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub.

Mereka turut menyerahkan 20 naskhah memorandum memohon penubuhan Suruhanjaya Diraja Memulihkan Nama Baik Negara pukul 11:30 pagi tadi.

Artikel Lain