suria

Mansor calon PKR di Penanti? Tunggu malam ini, kata Guan Eng

PULAU PINANG: Pengguguran nama Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman daripada senarai calon Ahli Dewan Negara yang dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri semalam dibuat atas permintaan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, pemimpin PKR itu menghantar surat kepada beliau untuk membatalkan pencalonan Mansor dan menggantikannya dengan Setiausaha Perhubungan Negeri, Mustafa Kamal Mohd Yusoff, yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri.

"Tiada sebarang sebab dinyatakan dalam surat itu tetapi saya tahu kenapa," katanya sambil tersenyum pada persidangan akhbar di Kota Cornwallis, di sini hari ini.

Walaupun umum boleh menjangkakan kemungkinan Mansor dipilih sebagai calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, namun Lim enggan mengesahkannya dan meminta wartawan bersabar menunggu pengumuman mengenai perkara itu oleh penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Yayasan Aman malam ini.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Mohammad Fairus Khairuddin, 33, pada 16 April lepas atas alasan mahu menyambung pelajaran di peringkat pascaijazah dan semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei ini untuk penamaan calon dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei.

Sebelum itu, pada 21 Mac lalu, Ketua Menteri mengumumkan peletakan jawatan Mohammad Fairus sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan juga exco kerajaan negeri.

Mengenai pengganti Timbalan Ketua Menteri 1, Lim berkata beliau menyerahkan kepada Anwar untuk menentukan sama ada mahu mencadangkan Ahli DUN Penanti nanti, jika memenangi pilihan raya kecil ini atau tidak. BERNAMA

Artikel Lain