suria

Hasutan: Bantahan awal Karpal ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak bantahan awal Pengerusi DAP, Karpal Singh agar beliau dilepaskan daripada pertuduhan mengikut Akta Hasutan.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah membuat keputusan itu setelah mendapati surat izin daripada Pendakwa Raya lengkap kerana ditandatangani sendiri oleh Pendakwa Raya dan bukan timbalannya.

"Dalam kes kita pada hari ini terdapat surat izin bertulis yang hampir sama dengan apa yang kelazimannya dikeluarkan untuk keskes yang membawa hukuman yang lebih berat.

"Izin di dalam kes pada hari ini ditandatangani sendiri oleh Pendakwa Raya. Dari segi nilainya ianya lebih tinggi kerana dipertimbangkan oleh beliau sendiri bukannya oleh timbalannya," katanya.

Azman yang mengambil masa 10 minit untuk membacakan penghakimannya turut merujuk beberapa contoh kes sebelum membuat keputusan dan beliau menetapkan tiga hari bermula 12 Julai untuk perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil 45 orang saksi.

Pada 22 April lepas, Karpal mengemukakan bantahan awal kerana menurutnya surat izin pendakwaan dalam kes terhadapnya itu tidak mematuhi peruntukan Seksyen 5 Akta Hasutan 1948.

Karpal, yang mewakili dirinya sendiri berkata, seksyen tersebut memperuntukkan bahawa seseorang tertuduh tidak boleh didakwa berhubung kesalahan mengikut Seksyen 4 akta berkenaan tanpa surat izin daripada pihak pendakwaan.

Katanya surat izin yang dikemukakan Peguam Negara didapati cacat kerana tidak mengandungi katakata hasutan seperti yang didakwa dilakukan olehnya ataupun lampiran transkrip katakata hasutan seperti dalam pertuduhan.

Pada 17 Mac lepas, Karpal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut katakata menghasut berkaitan Sultan Perak pada satu sidang akhbar di pejabatnya di Tetuan Karpal Singh & Co, Jalan Pudu Lama di sini antara tengah hari dan 12.30 tengah hari 6 Februari.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. BERNAMA

Artikel Lain