suria

Hakim tegur tertuduh senyum, dijatuhi hukuman penjara

PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini menegur seorang peniaga pasar malam yang menghadapi dua tuduhan memiliki dadah jenis ganja kerana hanya senyum dan tidak menunjukkan keinsafan ketika diminta mengemukakan rayuan.

Hakim Rozina Ayob menegur Mohd Markoney Mohd Norddin, 25, dari sini, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

"Mahkamah tidak nampak penyesalan kamu, kerana dari tadi kamu hanya senyum dan ketawa, adakah ini dikatakan penyesalan?

"Jangan senyum, walaupun ini adalah kesalahan pertama kamu tetapi saya harap kamu dapat mengubah diri dan gunakan masa di dalam penjara untuk belajar menjadi orang yang lebih baik," kata Rozina.

Rozina kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan 13 sebatan yang berjalan serentak dari tarikh Mohd Markoney ditangkap iaitu pada 24 Sept 2006.

Terdahulu, Mohd Markoney menghadapi pertuduhan memiliki dadah jenis ganja seberat 106.2 gram di No.A1107, Blok A, Taman Impiana Baiduri, Sungai Way, Petaling Jaya, pada 1.10 pagi, 24 Sept 2006.

Dia yang memakai t-shirt merah turut menghadapi pertuduhan memiliki dadah jenis yang sama seberat 23.1 gram, pada tarikh yang sama, di hadapan restoran Impian Baiduri, Blok D Taman Impiana Baiduri, Sungai Way, 12.35 pagi.

Dia yang tidak diwakili peguam dan masih bujang didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan 10 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Shah Rizal Abdul Manan. BERNAMA

Artikel Lain