suria

Cubaan bina semula tugu pokok demokrasi dihalang

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menggagalkan usaha pembinaan semula plak peringatan 'Pokok Demokrasi' yang dibina oleh Pakatan Rakyat untuk memperingati peristiwa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok pada 3 Mac lepas.

Jurucakap MBI berkata, kerja pembinaan tugu berkenaan dijalankan oleh beberapa lelaki dan penguat kuasa MBI mengarahkan mereka memberhentikan kerja kerana ia dibuat tanpa kebenaran.

"Semasa sepasukan penguat kuasa sampai di kawasan itu ada dua pekerja sedang menyiapkan struktur tapak bersaiz dua meter panjang dan 0.6 meter lebar itu manakala beberapa yang lain melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, dua lelaki berkenaan diarah memberhentikan kerja dan mengangkat semua peralatan kerana perbuatan membina sebarang bentuk struktur tanpa kebenaran MBI di kawasan seliaannya adalah tidak dibenarkan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kepayang Loke Chee Yan berkata, Pakatan Rakyat memang berhasrat mendirikan tugu di bawah pokok demokrasi itu dan sepatutnya menghantar permohonan pagi ini.

"Mungkin terdapat kesilapan mengenai tarikh untuk mendirikan tugu ini dan kontraktor telah membina tapak bagi tugu ini sebelum permohonan dihantar... kami akan menyelesaikan perkara ini petang ini," katanya.

Loke berkata, Pakatan akan memohon kebenaran membina tugu itu mengikut proses biasa.

Plak peringatan asal diroboh oleh MBI pada 15 Mac kerana struktur yang dibina oleh Pakatan Rakyat itu menyalahi undang-undang kerana pembinaannya merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 iaitu menyebabkan halangan di tempat awam.

Serpihan plak yang diroboh itu dilelong oleh Pakatan dan sebanyak RM42,900 termasuk sumbangan dikumpul hasil lelongan lima ketul serpihan batu marmar plak berkenaan.

Lelongan itu diadakan bagi mengutip dana pembinaan semula tugu peringatan serta tabung guaman pakatan pembangkang. BERNAMA

Artikel Lain