suria

Buruh dipenjara tujuh tahun, 12 sebatan kerana miliki pistol

KOTA BHARU: Seorang buruh hari ini dihukum penjara tujuh tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana kesalahan memiliki sepucuk pistol buatan sendiri, memiliki senjata api yang menyalahi undangundang dan sebutir peluru tanpa permit kira-kira lima tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Razali Mohammad dihukum penjara lima tahun dan enam sebatan, bagi pertuduhan kedua dihukum penjara tujuh tahun dan enam sebatan dan bagi pertuduhan ketiga dihukum penjara tiga tahun.

Dia dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Kampung Telosan, Pasir Putih di sini pada 11.05 pagi, 17 Ogos 2004.

Bagaimanapun, Mohd Razali, 26, hanya perlu menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan setelah Hakim Datuk Mohd Azman Husin memerintahkan hukuman itu dijalankan serentak dari tarikh tangkap 17 Ogos 2004.

Rakan Mohd Razali iaitu Ibrahim Amat yang didapati bersalah terhadap pertuduhan melepaskan tembakan ketika polis melakukan serbuan di tempat dan masa yang sama telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 29 Mac lepas.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Mohd Azman menyifatkan tertuduh seorang yang lurus bendul kerana mengikut Ibrahim dalam kesalahan jenayah itu.

Terdahulu, peguam yang mewakili Mohd Razali, Muhammad Hasif Hasan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana anak guamnya itu merupakan harapan keluarga bagi mencari rezeki.

"Tertuduh seorang yang lurus bendul dan mudah dipengaruhi Ibrahim sehingga terlibat dalam kejadian itu," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Wan Ab Razak Wan Husin meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan perlu dijadikan pengajaran kerana membabitkan soal keselamatan dan ketenteraman awam. BERNAMA

Artikel Lain