suria

Timbalan Pendakwa Raya mengaku tidak bersalah palsukan minit arahan

SHAH ALAM: Seorang Timbalan Pendakwa Raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan memalsukan minit arahan kertas siasatan terhadap tiga suspek kes dadah Mac lepas.

Md Azar Irwan Mohd Arifin didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 3.15 petang hingga 5.30 petang, 12 Mac lalu di pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Tingkat 4, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Dia didakwa menulis arahan di dalam kertas siasatan supaya Quah Guat Chin, Wong Kok Seng dan Low Teck Seng dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) akta sama, sedangkan dua daripada mereka boleh dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Oleh itu, Md Azar didakwa cuba meringankan hukuman yang dihadapi suspek.

Md Azar didakwa mengikut Seksyen 218 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Afifah Mamat @ Yusof membenarkan Md Azar diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Mei untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Kanan Persekutuan Datuk Abdul Razak Musa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin dan Gooi Soon Seng.

Md Azar membayar jaminan itu. BERNAMA

Artikel Lain