suria

PGM rampas pelbagai barangan bernilai RM 1.1 juta

PENGKALAN KUBOR: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor merampas pelbagai barangan seludup bernilai kira-kira RM1,197,326 daripada 102 kes dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor DSP Tan Cheng San berkata nilai rampasan tertinggi melibatkan barangan di bawah akta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) iaitu sebanyak RM1,159,673 diikuti rampasan 7,603 kilogram beras bernilai RM22,809.

"Nilai rampasan ini juga melibatkan kompaun sebanyak RM14,844 mengikut pelbagai akta termasuk Akta Kastam, Jabatan Perkhidmatan Haiwan serta Jabatan Perikanan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil perkhidmatan cemerlang kepada tujuh anggota PGM sempena majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2007 di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun jumlah kes agak menurun berbanding 163 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu, nilai rampasannya pada tahun lalu lebih rendah iaitu RM127,492.

"Perbezaan ini kerana anggota PGM kini lebih menumpukan kepada rampasan yang besarbesar, bagaimanapun kes penyeludupan secara kecilkecilan turut diberi perhatian supaya ia terkawal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tan berkata kegiatan penyeludupan petrol dilihat kembali aktif terutamanya di kawasan Pengkalan Kubor.

"Walaupun belum ada rampasan besarbesaran terhadap penyeludupan petrol ini, namum pemantauan anggota PGM mendapati sudah ramai penyeludup bergiat aktif semula dengan membeli petrol dari stesen minyak berdekatan menggunakan tong," katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa lain juga perlu peka dengan keadaan ini bagi mengelakkan ia menjadi tidak terkawal di samping kerjasama daripada pengusaha stesen minyak itu sendiri. BERNAMA

Artikel Lain